Thursday, 9 August 2012

KU SINGGKAP TABIR RINDU


Terdengar-dengar sayup di telinga
Syahdu nian suasana desa
lambaian ibu menggamit rindu
bertahun berlalu rasa seperti baru
baru semalam ibu pergi
pergi membawa hatiku bersama
tak terucap dengan kata-kata
betapa rindu sentuhan kudusmu...

Bertahun aku membawa jiwa nan mati
beribu kali aku cuba mengubat sendiri
pilu membelengu sanubari
seksanya mengayam sepi
malam hari menjadi saksi
tangis rindu dalam mimpi
tersedar pagi nan sepi
air mata membasahi pipi.

Hari ini, rindu itu masih berlagu
pabila mendengar dendangan lagu
hati semakin dipagut pilu
jiwa serasa membeku
hilang kasih nan syahdu
tiada tara kasihmu
maka hati menjadi keras bak batu
sukar untukku singkap tabir rindu
biarpun ada yang menitipkan rindu...
kerana sepi itu indah
ku bawa hati melayari duniaku
menyingkap tabir rindu kasihmu.

Ilham rindu kudus kasihmu,
liza isma,
10 Ogos 2012/21 Ramadhan 1433H
10.30 pagi
Dewan Bestari, SKPJ.


Saturday, 4 August 2012

Seloka berkias mendidik manja, walaupun marah Cikgu Tetap Sayang

 Seloka Cikgu Sayang 

Bangun pagi-pagi pergi ke sekolah,
Kalau tak datang cikgu kan marah,
Duduk di rumah emak pula marah,
Balik sekolah ada pula kerja rumah.

Sampai di sekolah hati rasa gundah,
Kerana lupa nak buat kerja sekolah,
Hendak masuk kelas takut cikgu marah,
Akhirnya, lari keluar pagar sekolah.

Walaupun hari-hari cikgu marah,
Kutetap datang ke sekolah,
Melihat  cikgu senyum biarpun marah,
Jadi hatipun tidaklah gundah.

Hajat hati ingin berubah,
Agar ibu ayah berasa megah,
Cikgu pula tak lagi marah,
Maka mestilah rajin datang sekolah.

Bairpun berat beg digalas,
Datang sekolah taklah culas,
Jasa ibu bapa hendaklah dibalas,
Guru mengajar memanglah ikhlas.

Tugas guru  mengajar tulis baca,
Juga membilang mengira alif ba ta,
Mendidik anak murid pewaris bangsa,
Menjadi pemimpin rakyat berguna.

Sayang sayang buah kepayang,
Hendak ditelan pahit, dibuang sayang,
Biarpun marah cikgu tetap sayang,
kerana itulah sifat guru penyayang.


za_tintamaya
21 April, 2012/11.30 malam
Desa Pandan/Kl
(sempena pelancaran “Amalan Guru Penyayang SKPJ’2012” – Isnin 23 April 2012)

KELIRU


Tetiba sahaja aku seperti keliru,
termangu-mangu dan tertanya-tanya
fikiran pun melayang-layang
terapung-apung mencari ruang di udara
bayu tidak berpuput
sesak nafas tersekat.

Tetiba sahaja aku seperti resah,
 

berpusing-pusing dan terteleng-teleng
akal pun berputar-putar
berlegar-legar mencari arah
jalan pula bersimpang siur
udara menjadi panas
ruang semakin sempit.

Tetiba sahaja aku seperti risau,

berkisar-kisar dan berpinar-pinar
hati pun berkeluh-kesah
merayau-rayau mencari jawapan
jalan pula semakin berbelit-belit
hawa menjadi beku
nafas seperti terhenti
pasrahlah diri padaMU Illahi....


za_tintamaya
1 Ogos 2012
SKPJ, KL/Selangor.

SEKADAR DI PINGGIRAN

Biarpun telah lama aku wujud
diriku seperti tidak terlihat olehmu
tertanya-tanya aku, adakah aku halimunan?
Biarpun setiap detik katamu kau dambakan aku,
tapi kau buat tidak peduli tentang aku
ku lihat setiap ketika kau bersandiwara di depanku
kau selesa bersama dengan yang lain
biarpun aku, kau kata kau puja
namun, tipu daya belaka!!

Biarpun aku kau jaga rapi
namun, kau tetap tak peduli
kau tetap jua ke laman orang
kau biarkan aku kehausan sendirian
kau biarkan aku teraba-raba mencari serba daya
kau biarkan aku berjuang sendirian untuk terus hidup
kau biarkan aku dalam keluh kesah yang tak bertepi
kau biarkan aku berteka-teki
kau biarkan aku menagih simpati
kau biarkan aku dihina dicaci
kau biarkan aku sakit diinjak-injak
kau biarkan aku kelelahan sendiri
kau biarkan aku mencari penawarnya sendirian.

Aku semakin kau tak peduli,
maka terkapar-kaparlah aku
sendirian mengubati sakit di jiwa
pedih luka tiada siapa yang peduli,
sakit menahan sesak di dada
tiada siapa yang datang merawat
tiada siapa yang sudi menjengah
mereka hanya mengiring pesan
mereka hanya menyampaikan salam
mereka hanya menitip kata sambil lewa
mereka sekadar menjenguk di pinggiran.

Aku semakin hampa kecewa
jiran tetangga pasti takkan peduli
waris pusaka masih diam menyepi
biarpun aku hampir nazak
mereka masih tak ambil tahu
mereka masih tak mahu peduli
mereka masih leka dibuai mimpi
mereka masih alpa menunai janji
mereka masih bertelagah mendapatkan hak.

Aku semakin sayu,
mengenang nasib di pinggiran
mengenang jasad tak dipeduli
Adakah mereka menunggu sehingga aku MATI??
barulah mereka hendak tengadah,
atau semuanya tinggal tulang gemulang??
tetapi masih juga belum sedar
bahawa aku telah TIADA!!!
Oh, alangkah pilunya aku
hanya kerana bergelar BAHASA MELAYU!!!
mereka malu hendak mengaku
mereka malu hendak berkata
mereka malu hendak berbicara
mereka malu dengan kedaifanku!!!


05082012/0210 pagi
Temerloh, Pahang.

1Malaysia : Mencari Makna Dalam Illusi



Mata hati merenung jauh
sayup saujana pandangan
meneropong ke serata alam
menjelajah bayangan sebuah illusi
menerobos sebuah kehidupan
lalu pandangan mata bertemu sebuah hakikat
di hadapan terlihat wajah-wajah ceria
adunan pelbagai rupa bangsa
adat budaya mencetus beribu rentak
terlakar dalam wadah sebuah institusi
terpupuk hanya pada suatu zaman
laman persekolahan menghimpunkan
pelbagai rentak irama tari bangsa
menyatu dalam perhimpunan nan harmoni
berpaksikan sebuah falsafah yang mendokong teras pendidikan
merentasi kurikulum yang sama
mendidik jiwa menjadi insan
akhirnya, tercipta beribu jaya mencipta tamadun bangsa
berdiri kukuh menunjangi negara berdaulat.

Mata hati tersentap
setelah dewasa bersama jaya
pelbagai kemelut rasa menular dalam diam
menyelinap dalam akar bangsa
mencernakan resah para pemimpin
lalu terlahir suatu harapan
tercetus di minda
demi kelangsungan bangsa
menjaga negara berdaulat
dari ancaman tangan-tangan yang menikam belakang
maka, lahirlah 1Malaysia
demi sebuah perpaduan bangsa
dengan harapan tiada lagi ungkitan akan hakikat
diam kukuh tak tergugah
kerana keluhuran perlembagaan tak dilangkaui
teguh terjaga dalam naungan daulat diraja.

Mata terus menerobos deria rasa
menggamit satu pertanyaan
mampukah menggapai impian tinggi melangit?
terjangkaukah  mencapai awan gemawan?
Keazaman pun dipahat
dipacak tiang-tiang harapan
mencipta sebuah resipi
menggaul satu adunan dalam acuan yang sama
mampukah dicernakan?
atau maniskah resipi itu?
Hatipun berkata-kata
resipi itu hanya mampu dicerna
jika tiada satupun bahan tertinggal
rasanya akan manis jika madunya tak tertumpah
namun, agak sukar mengambil madunya
tingginya di puncak tualang
tualang teguh berdiri di tengah belantara,
hanya yang tangkas berjaya merebutnya
mencantas akar-akar yang berselirat
mencari susur alur yang berbeza
biarpun destinasinya sama…

Memandang sungai nan jernih
alirannya tenang, damai suasana
sesekali ketenangannya berkocak
apabila ada tangan-tangan
membaling batu sembunyi-sembunyi
melilau mata mencari tangan-tangan itu
tak kelihatan,
siapakah yang sengaja mengganggu aliran nan tenang itu?
dan tiba-tiba sahaja air di muara menjadi keruh….

Kemudian, mata memandang
serumpun pohon nan merimbun
tunjangnya kuat mencengkam bumi ini
biarpun akar berselirat tetapi meneguk air
di sungai harapan nan sama
lalu subur dan mekarlah bunga bangsa
pohon itu pastinya akan terus  merimbun
kembang kelopak bangsa harum mewangi
jika tiada tangan-tangan yang cuba mencantasnya
mengorbankan pohon nan subur itu
demi pepohon baru yang belum tentu tumbuh subur seperti itu
lantas, demi menepis cubaan mematah reranting bangsa
tunjangnya perlu diperkukuhkan
demi kelangsungannya menaungi bunga bangsa
demi hidup yang utuh dan padu
dihimpunkan segenap jiwa dalam satu wadah
wadah bangsa 1Malaysia
agar teguh berdiri sebagai mercu tanda
berkibar megah di ruang angkasa
Jalur Gemilang simbol kedaulatan Negara
lambang sebuah negara merdeka.

Illusi sesekali menjengah deria rasa
andainya ada tangan-tangan yang rakus mencantas
meroboh binaan-binaan yang telah teguh dan padu
terhasil daripada jerih perih sebuah perjuangan,
sejarah telah tercatit
empayar yang teguh gagah gemilang
ranap ditelan riwayat
lalu generasi hari ini, mampu merintih
“Kalaulah…Empayar Melaka masih berdiri teguh,
kitalah bangsa yang kuat dan berdaulat dalam negara merdeka ini!”
namun, kalau tetap akan berkalau
kerana realiti telah tercatat dalam lipatan sejarah;
empayar yang gah ranap sekelip mata
oleh hanya seorang pengkhianat bangsa…
Mahukah itu terjadi lagi?

18 Disember, 2012/6.40 petang
Kuala Lumpur.






KIAMBANG TERPISAH, BIDUK BELUM BERLALU...

Dulunya, kiambang bertaut erat
tautan hati erat, padu dan mesra
ketawa riang dalam ukhwah kekeluargaan
tanpa rasa dengki iri hati dan taksub...
namun, kerana gula-gula manis bertaburan...
biduk lalu tak diundang,
membuka haluan baru..
maka terpisah kiambang dalam dua daerah ideologi.

Suatu masa dulu;
ruang lingkup tanpa sebarang fahaman
kiambang mekar, dalam ukhwah yang utuh
kiranya, dulu tiada siapa yang mengheret,
membuka ruang pecah membelah tautan hati,
akhirnya, bertebaran warisnya mencari makna hidup
dalam sendu mengenang PUSAKA,
sebuah MADRASAH dijadikan medan POLITIK...
dan kami WARISnya hanya mampu melihat...

RALAT dan terkilan,
AKHIRNYA, menjadi LAGENDA : 
Sejarah yang berkubur tanpa NISAN,
walaupun masih ada......
PENAWAR jadi DURI mencucuk DAGING KELUARGA sendiri
kerana sebahagian yang TAKSUB POLITIK 
telah BERJAYA DIGULA-GULAKAN....
MANIS menjadi PAHIT,
ROBOH muafakat, yang TERBINA SEKIAN LAMA 
terjalin erat, padu bermasyarakat
hanya dengan tindakan SEDETIK.....
menunggu KIAMBANG BERTAUT, 
tapi BIDUK belum mahu BERLALU...

Senyum dalam tangis...
Marah dalam ketawa...
Sayu MEMANDANG sebuah KETERPISAHAN KERABAT....
DEKAT tapi JAUH
SAPA tapi SINIS
warisan ini hilang tapi SEGAR dalam MEMORI
hingga kini, AKU cucunya masih MERATAP
menghitung KENANGAN,....
kerana... di situlah aku mula MENGENAL alif ba ta....

Aku masih menaruh harapan
mengharap JERNIHLAH air yang KERUH...
berlalu ke LAUT MATI....MASIN TAK BERGARAM...
berhentilah hujan di HULU
yang membawa KERUH di HILIR...
SIRAMI tanah nan TANDUS ini dengan HUJAN UKHWAH...
MOGA kiambang KEMBALI bertaut...

(sebuah kisah benar di sebuah kampung,
warisan MADRASAH TOK PONDOK HJ. AWANG)
- za pok su pak da-

Resah Hatiku,
za_tintamaya
1.15 tengah hari/21 Februari 2011

SAMBUNG-MENYAMBUNG ﺴﺎﻤﺒﻭڠ۔ﻤﭙﺎﻤﺒﻭڠ Hanya Sulap: Jangan Hodohkan Karangan Bahasa Melayu

SAMBUNG-MENYAMBUNG ﺴﺎﻤﺒﻭڠ۔ﻤﭙﺎﻤﺒﻭڠ Hanya Sulap: Jangan Hodohkan Karangan Bahasa Melayu: (1) Za‘ba Pelopor Retorik Melayu (2) Mengarang seperti Berjalan (3) Rangka dan Karangan Contoh Dalam siri yang ketiga kita meninjau bab ...