Tuesday, 13 November 2012

BAYANGAN RINDU




Bayangan semalam masih menghantui hidupnya. Pabila bayangan itu mengganggu fikirannya, dia menjadi tidak keruan. Dia akan leka menatap bayangan itu, setiap kali muncul di ruangan matanya. Kala menatap bayangan itu, dia melihat sepasang mata nan syahdu sedang merenungnya penuh kasih. Dia bagaikan terpaku merenung mata itu, dengan rasa penuh rindu. Namun, tatkala matanya berkedip, bayangan itu telah hilang.

Lantas dia memandang sekeliling, mencari-cari bayangan itu dalam kelam malam. Apa yang ditemui hanyalah bebayang dirinya sendiri. Dia memandang jauh ke hadapan, dan dia juga hanya melihat bebayang pepohon disinari cahaya rembulan. Dia terduduk di situ, dan tersedu menahan tangis. Dalam sedar, dia tahu apa yang dilihat tadi adalah suatu bayangan wajah yang sering dia rindui.


Tiba-tiba, dia berlari-lari masuk ke dalam rumah pusaka itu. Lantas diselongkar almari usang. Dia duduk di situ membelek-belek album kenangan. Dia menemui sekeping gambar hitam putih. Dia merenung dengan hati pilu. Gambar itu adalah seorang anak kecil di atas dukungan ibu. Dan anak kecil itu adalah dirinya.

Ah, rindunya!! Itulah yang terdetik di hatinya. Dia merasakan seperti baru semalam, dia berada di atas dukungan ibu. Bagaikan terdengar-dengar suara ibu berbisik lembut, mengagah penuh kasih. Dan air mata berlinang di tubir matanya. Tersekat-sekat rengkungnya menahan sebak. Namun, akhirnya tangisan pecah berderai, tak mampu dibendung lagi.

Sekali lagi, malam sepi menyaksikan tangisan rindu bergema dalam kamar itu. Dan dia terlena dalam juraian air mata membasahi pipi. Terjaga pada pagi hari, dia melihat ada kesan alur air mata yang telah kering di pipinya. Terduduk di birai katil, dia mengingati-ingati kembali mimpi semalam. Walaupun wajah itu telah hilang kala dia terjaga tadi, dia tahu, bayangan rindu itu akan muncul lagi dalam tidurnya malam nanti!


Liza Isma ~ Melakar aksara kala hati berlagu rindu....

13 November 2012/9.25pm
Desa Pandan, KL.

Monday, 12 November 2012

ANTARA AKAL DAN NAFSU





Saya tahu hanya nabi dan rasul-rasul yang maksum, serta kita tidak boleh mengkritik. Apabila kita mengkritik, gunakanlah akal dan bukannya nafsu. Setiap kritikan, biarlah penuh hemah. Gunakan akal, dan bukan nafsu.

Akal tidak akan merendahkan maruah orang hingga di bawah tapak kaki kita walaupun tak setuju atau orang itu memang terbukti jahat. Tetapi nafsu akan sentiasa mengajak kita mencemuh kejahatan orang yang kita kata dia jahat.

Akal takkan menghina sehina-hinanya seorang banduan, tetapi akan memberi peluang dia muhasabah diri melalui teguran dan nasihat. Tetapi nafsu akan mencemuh, menghinanya sehingga dia boleh kembali jadi jahat atau lebih jahat.

Pilihan di tangan masing-masing. Ilmu Allah itu luas. Akal yang tajam mampu mencari dan menyebarkannya kepada sekalian umat dalam bentuk tulisan, tetapi biarlah dengan cara penuh hikmah walaupun ada kritikan di dalamnya. Manakala nafsu boleh menjatuhkan nilai diri seseorang itu serendah-rendahnya, apabila dia merendahkan orang lain mengikut kata nafsunya. Oleh itu, hargailah akal kurniaan Allah dengan berkata sesuatu yang baik-baik sahaja. Jangan berkata ikut nafsu, dirimu menerima malu.


za_tintamaya
- Sekadar mengingati diri agar tidak bertindak tanpa akal.

12.11.2012 (10.55 malam - Isnin)
DP.KL.

RINDUKU SEMAKIN HILANG




Tertanya-tanya aku, mengapa sudah lama dia tak menghubungiku. Tidak rindukah dia padaku? Atau dia sudah boleh terima kehidupan tanpa aku? Aku masih lagi menunggu panggilannya, biarpun detikan rindu bagaikan hampir mati. Irama rindu tidak lagi bernyanyi merdu seperti suatu waktu dulu.

Jarak waktu yang sering memisahkan antara pertemuan dengan pertemuan semula selepas itu, membuatkan aku mula bersedia untuk membuang rindu. Jika aku terus mengulit rindu, hati akan menjadi sakit. Maka kubiarkan rindu itu perlahan-lahan berlalu dari hati.

Oh, rindu!! Janganlah kau mendekat. Aku mahu kau pergi jauh dari hatiku. Biarpun aku masih sayang, namun aku tahu aku perlu lepaskannya. Pun begitu aku tahu, mengapa dia menyepikan diri, dan aku juga tahu mengapa aku harus pergi?? Jika kau hadir seperti selalu, aku masih mampu tersenyum di sampingmu, biarpun kita akan berkeluh kesah selepas itu. Hadirlah biarpun seketika. Namun, jika kau tak hadirpun tak mengapa.

Andainya tiba-tiba, aku telah mula menitipkan rindu pada yang lain, jangan kau salahkan aku. Kau yang biarkan cerita kita tanpa penamat. Maka, biarlah aku yang tamatkan cerita kita.

TAMATlah sebuah kisah sentuhan rasa.

za_tintamaya...melakar kata dalam jiwa kelam...

12.11.2012 (10.00 malam-Isnin)
DP.KL.

JANGAN RENDAHKAN NILAI SEBUAH KARYA




Saya pernah membaca sebuah novel yang menjijikkan kerana diilhamkan berkisarkan tempat yang sangat KOTOR. Saya membeli novel itu kerana ditulis oleh seorang yang sangat saya kagumi seni sasteranya. Malahan karya-karyanya saya baca dan telaah semasa pengajian di universiti dulu. Namun, saya sangat kecewa kerana intipati novel itu di luar jangkaan.

Dan saya tidak habis membacanya kerana merasa sangat bosan, dalam erti kata tak menarik langsung. Saya merasa mual membacanya bukan kerana tahi yang digambarkan dalam sebuah usus, tetapi kandungannya yang berupa kutukan, yang disimbolikkan menerusi karyanya itu. Kutukan yang dituju khusus kepada seorang pemimpin kerana diresapi perasaan amarah dan benci yang teramat sangat. Saya merasakan dunia sastera tercemar
seketika hanya kerana novel TAHI itu!!!

Hingga kini, saya mula hilang hormat kepada mana-mana sasterawan yang bermain politik menerusi karya-karya mereka. Pada saya, dunia seni biarlah berhemah dan boleh menjadi jambatan yang menghubungkan pertautan hati antara masyarakat menerusi karya, dan bukannya turut mengheret rakyat berpecah belah dengan tulisan-tulisan yang dilakarkan.

Lakarlah setiap bait huruf dengan rasa penuh tanggungjawab. Dengan hanya sebaris ayat, kita mampu menggembirakan orang dan dengan sebaris ayat juga kita boleh menyakitkan hati orang. Pilihan di tangan kita. Ilmu Allah itu luas, tidak terbatas untuk ditimba. Dan sastera salah satu cabang yang boleh dimanfaatkan untuk menyuntik ilmu kepada para pembaca menerusi kandungan cerita yang dilakarkan.

# Sekadar menyelusuri makna di sebalik karya seni.
12.11.2012/8.30 malam
DP/KL.

Sunday, 11 November 2012

Ilhamku sentiasa menguntum, biarpun ketika kelam...

ILHAMKU TETAP MENGUNTUM

Ku lepaskan semuanya
tak tertinggal lagi,
ku lakarkan semuanya
tak tersedu lagi,
ku puas memujuk diri
dan tak menangis lagi...

Ku biarkan lagi
kebekuan hati
merajai diri,
tujahan belati
memadamkan api
yang hampir membakar diri
kala kemelut meniti hari
menghitung-hitung pasti
tatkala berlegar-legar dalam kamar hati,
aku pun melepaskannya pergi...

Kini, aku sudah kembali tersenyum,
malahan ketawaku menguntum
ilham pula semakin ranum
mencurah-curah bak air mengalir di dalam kolam,
membuatkan bibirku tak henti senyum
menatap kisah pengalaman semalam,
yang kulakarkan tatkala jiwaku kelam
dan aku akan terus menyulam
bait-bait kata di kanvas alam
biarpun ada yang takkan faham
kerana ku tahu, hanya jauhari mengenal manikam...

Liza Isma ~ Melakar ilham di kanvas alam, dari secebis kisah semalam....

12 November 2012/12.50 tengah malam
Desa Pandan, KL.

AKU TAKKAN MENGALAH!!




Insyaallah...  Selagi diri diberi kekuatan, aku pasti mampu berdiri, walaupun banyak dugaan dan cabaran yang melanda. Kehidupan perlu diteruskan, walau apa pun rintangannya. Jika dulu, aku mampu melangkah ke hadapan walaupun mendepani pelbagai halangan yang lebih hebat, mengapa sekarang aku harus mengalah?? Mengapa aku perlu tewas pada perasaan sedih, kecewa, hampa, rasa tertindas dan teraniaya??

Maka hari ini, aku tetap akan melangkah ke hadapan, dan berjuang sehabis daya, walaupun kadang-kadang ada sembilu tajam yang menusuk ke jantung hati. Akan ku bina kekuatan diri untuk mendaki puncak usaha. Biarpun apa yang dilakukan tidak dilihat, tidak dinilai dan tak dihargai, semua itu bukan ukuran kepuasan dalam melaksanakan apa yang mahu dan harus aku buat. Setiap tugasan tetap akan dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab, walaupun adakalanya semangat bagaikan patah, dek perkara-perkara di luar jangkaan, di luar batas fikiran bahawa sesuatu yang kita tak fikir akan berlaku, boleh berlaku.

Pengalaman telah mendewasakan diri, bahawa apa yang berlaku adalah lumrah dalam hidup. Walaupun kita tidak mahu itu terjadi, tetap juga terjadi selagi manusia ada sifat hasad, riak dan takbur dengan apa yang dimiliki. Dalam meniti perjalanan menuju puncak jaya, pasti kita bertemu kelibat orang yang ingin menjatuhkan kita untuk mendabik dada, dirinyalah yang lebih hebat. Dan aku telah melaluinya berulang kali. Hampir diri jatuh tersungkur, hanya kekentalan semangat mampu menongkat diri bangkit mengejar impian.

Alhamdullillah, hari ini aku telah berjaya mendakap erat impian itu. Tiada apa lagi yang mahu aku fikirkan, selain daripada melaksanakan impianku itu dengan semangat dan jiwa yang maha dalam. Jiwaku padu di situ bahawa aku cinta dan sayang impianku ini. Aku bangga mewarisi bakat Pendeta Zaaba, menyambung tugasannya mendidik dan mengajarkan bahasa Melayu kepada generasiku. Dan aku bangga mewarisi bakat seni para pujangga dan penyair terdahulu, lalu kucuba meriahkannya walaupun dengan caraku sendiri.

Aku tak mahu tertewas, walaupun hampir rebah dibentes. Aku sudah puas bergelumang kecewa. Aku sudah puas menangis hampa. Aku sudah acap menerima tujahan belati di jantung hati. Aku sudah masak, malahan rentung dengan wajah manusia talam bermuka dua. Dan aku sudah sering ditembak oleh peluru kata-kata, dalam madah bicara di dalam bilik musyawarah. Namun, aku tetap masih boleh tersenyum kerana aku tahu apa aku buat dan apa yang akan aku buat??

Semakin bermain kata, semakin banyak ingin diluah. Kesakitan boleh memberi sejuta ilham untuk digarap. Namun, bukan mudah untuk meluah pekung di dada, kerana yang terpalit adalah ke muka sendiri. Dan kini, kulit mukaku seperti tebal untuk mendindingi maruah yang terpalit dek rasa kecewa dengan tujahan belati ke jantung hati. Tembakan demi tembakan peluru kata-kata bagaikan irama berlagu riang dalam meniti butir-butir kertas minit untuk dicatatkan sebuah nama. Dan rasanya irama itu takkan berhenti selagi empunya suara belum mahu menamatkannya. Dan ilhamku tamat di  sini.

Liza Isma~Menyelami setiap peristiwa dalam kehidupan untuk membina tabah...

11 November 2012/10.00 malam
Desa Pandan, KL.

Saturday, 10 November 2012

SEKADAR MAINAN KATA, LUAHAN RASA...


Kala berita sadis itu aku dengar, aku tidaklah terlalu kecewa dan merasa pedih. Aku masih mampu bertenang walaupun mulut tak henti menyeranah. Pada waktu itu, aku hanya berfikir akan lebih beringat-ingat dan menjauh daripada orang yang suka membawa berita dongeng sedemikian. Luahan yang kuudarakan dua hari semalam sekadar satu luahan untuk menenangkan diri sendiri, serta ingin mendapatkan sokongan dan dorongan kawan-kawan yang memahami siapa aku dan bagaimana aku?? Terima kasih kawan-kawan yang bertanya masalah dan memberi perangsang. Kehadiran kalian yang sentiasa menyokong sangat aku hargainya, dan kerananya aku menjadi lebih kuat.

Namun, keadaan bertukar menjadi sebak tak terkata pabila di luar jangkaan ada yang menembak tepat mengenai dada. Sakitnya ditujah peluru kata-kata, hanya Allah saja yang tahu, kala kita berusaha membina kekuatan dengan mengumpul sejuta kesabaran. Saat-saat kita mendaki tabah, semangat diri bagaikan runtuh jatuh menghempap, hampir rebah. Mujur kekuatan dan kekentalan semangat masih bersisa untuk bangkit berdiri. Hanya hujan air mata menjadi saksi betapa pedihnya tujahan peluru menusuk kalbu.

Meruap darah di setiap celahan luka itu, tetapi bukan berwarna merah. Darah yang meruap itu adalah amarah terbekam, tertanam di dalam dada. Amarah dan kecil hati itu telah meranapkan suatu perasaan yang hampir berbunga. Namun, aku sangat bersyukur kerana Allah telah mematikan perasan itu yang sepatutnya tidak wujud dari mula lagi. Sekali lagi aku tersilap jalan, mujur jua belum jauh ke hadapan. Akhirnya, aku perlu berpatah balik biarpun jalan yang dulu juga silap, namun ada tongkat yang memimpin aku berjalan dalam kesamaran itu. Cerita itu perlu ada NOKTAH!!... Semoga tiada sambungan episod luka lagi selepas ini. Biarpun kita tidak tahu apa yang berlaku selepas ini, harapan tetap tersimpan agar hati tak terguris lagi.

Jika pun ada episod baru, biarlah bukan bertemakan hati. Episod baru sentiasa ada selagi kita berlakon di pentas hidup. Dalam putaran waktu, aku hanya berdoa agar diberi tabah untuk kuat berdepan dengan dugaan dan duri-duri yang merintang jalan. Semangatku tak pernah mati hanya dengan satu epilog duka hari ini, seperti juga semangatku tak luntur bertahun-tahun dulu, kala aku merangkak mendaki puncak jaya yang kukecapi hari ini. Biarpun ada terdetik rasa kecewa hampa, namun usahaku teruskan hingga ke penghujung jalan.

Alhamdullillah, aku telah berjaya membuang kecewa hampa itu ke dasar lautan hidup. Aku kini, telah timbul di permukaan dengan huluran pelampung yang menarikku ke tepian. Dia hadir saat-saat aku terkapai-kapai mencari ruang di dunia yang kelihatan kelam. Dengan segala kekuatan diri dan pertolongannya serta semangat yang dikongsi, akhirnya aku mampu tersenyum, dan dia tumpang gembira.

Saat-saat aku ditimpa rasa duka semalam, aku kembali teringat bahawa aku tak pernah keseorangan. Jika dia ada di sisiku kala ini, pasti dia akan menjadi pendengar yang baik dan penasihat serta pemberi kata-kata semangat yang berkesan. Lalu, di mana lagi hendak aku cari orang yang sangat memahami dan menghargai aku dengan kasih sayangnya?? Walaupun masing-masing tau ada halangan melintang jalan, namun kasih sayang membuatkan semua itu dibiar sepi. Aku tahu mengapa dia menyepi dan aku juga tahu mengapa aku ingin pergi?? Hanya ku mohon ada jalan yang lebih baik daripada itu.


Liza Isma~ Memujuk diri, merawat luka dengan cerita silam yang lebih parah dari hari ini!!~


11 November 2012/9.00 pagi
Desa Pandan, KL.