Saturday, 20 July 2013

KENANGAN.....sentiasa hidup dalam jiwa...





Di laman ini, aku duduk membelek helaian-helaian kenangan.
Berbagai-bagai cerita dapat kutatap dalam helaian-helaian itu.
Mengajak aku merenung satu-persatu masa silam yang telah kulalui dulu.
Masa silam suka duka kutinggalkan jauh di belakang.
Membelek semula helaian kenangan, membuatkan kutersenyum sendiri.
Ada ketikanya menjadikan aku berada dalam kesyahduan dek kerinduan.
Ada juraian air bergenang di pelupuk mata, hanyut dalam lautan rindu.
Sesak nafas mengajak diri untuk berenang kembali ke alam realiti.
Biarpun sedar bahawa semua itu telah berlalu, namun bahagia mengulit kenangan.

Kenangan….bahagia dalam pelukanmu!!
Serasa masa terhenti kala leka dalam lautan kenangan.
Serasa diri turut berada pada masa lalu yang telah menjadi sejarah kehidupan.
Serasa semangat diri seperti hilang dibawa pergi.
Serasa ingin terus berada di situ, membelek helaian-helaian kenangan.
Serasa tidak mahu berpaling kembali ke hadapan, berdepan dengan kenyataan.
Serasa indahnya menoleh ke belakang, menyaksikan kenangan terlayar di ruangan mata.

Ah, indahnya membelek helaian kenangan!!

Liza Isma,
Disember 2012/Desa Tercinta…..

SECAWAN SUSU, SEPIRING BISKUT




Pagi nan dingin,
dengan perasaan malas, aku :)membuka gebar yang membungkus diri.
Suara emak, memaksa aku bangun walaupun masih kantuk,
dengan keadaan masih mamai, aku menuju pancuran…
Kemudian, bersiap untuk ke sekolah.

Pagi itu,
aku tidak sempat bersarapan, kerna terlewat bangun dek melayan kantuk…
Lantas, aku terburu-buru menyarung kasut,
dan menuju ke perhentian bas awam di hadapan rumah.
Aku perlu menunggu bas yang hanya sejam sekali itu,
bas nombor 38 dari Kota Bharu menuju ke Machang.
Aku bersekolah swasta di Labok, tingkatan enam,
sekolah yang hanya tinggal nama kini,….IHAK!!

Pagi nan syahdu itu,
tatkala aku termanggu-manggu melayan debar dan takut,
takut dimarahi guru disiplin dek kerana terlewat…
Tiba-tiba, dari kejauhan aku melihat emak datang menghampiriku,
di tangan kanannya secawan susu, dan di tangan kirinya sepiring biskut…
Dengan lembut emak berkata, “Makanlah Za, buat alas perut sementara rehat…”
dan dengan hati nan sebak, perlahan aku menghirup susu putih itu,
serta dengan perasan sendu, aku mencicah susu putih itu dengan sekeping biskut lemak…
Tidak lama kemudian, bas pun tiba…
Setelah memohon restu, dengan longlai aku melangkah menaiki bas,
dan sejuta sendu mengirigi hatiku sepanjang perjalanan, hingga kini….

Hari ini, seperti juga hari-hari lain, memori itu berputar lagi…
menayangkan ceritanya dalam layar ingatanku,
tak pernah jemu aku ulang menontonnya…
Kisah pada pagi nan syahdu itu, seperti baru semalam kulalui…
“Secawan Susu, Sepiring Biskut”, saksi kasih luhur dan kudus,
lambang kasih sayang seorang tua yang kupanggil emak!!
Dan, dia bukan sesiapa denganku, darahnya tidak mengalir dalam tubuhku…,
Namun, aura kasih sayangnya mengalir di setiap pembuluh darahku…
hingga kini, tak pernah berhenti mengalir kasih dan rinduku padanya,
hingga jiwa ini seperti mati, dibawa pergi, pada hari dia tinggalkan aku selamanya!!
Hinggakan tiada ruang, untuk aku menebarkan rasa rindu ini pada yang lain….
Rindu ini semakin hari, semakin kuat menerobos fikiranku,
Berputar-putar layar ingatanku menayang kisah itu,
hingga aku terdetik untuk melakarkan kisah syahdu ini,
kuingin abadikan kenangan ini, sebagai catatan terindah yang pernah kumiliki;
Dan sekali lagi, malam nan kelam ini,
menjadi saksi air mata berjuraian dek melayani memori…

Liza Isma ~
Melakar sebuah kisah dari hati yang amat dalam,
kasih dan rindu yang tak pernah padam…

15 November 2012/11.40pm
Desa Pandan, KL.


RIWAYAT DIRI




Pagi nan indah,
aku membelek helaian kenangan...
Ah, aku rindu kicauan beburung!
ingin meniti batas-batas kenangan
mengutip sesiput
atau mengejar keli dan haruan
di celahan rumpunan padi,
terjun berlumba di tali air
berlari-lari di titian bendang
mencari belalang dan tu'yut
buat umpan memancing ikan puyu.

Adakalanya berlari-lari
di celahan pepohon getah
mengutip pucuk serai kayu
dibuat ulam nasi kerabu
makan bersama tumis budu,
atau mencari biji-biji getah
berlawan pecah
atau bermain congkak di lubang tanah
berebut tempat menyorok
berebut tempat berpijak,
melindugi diri ditangkap sang buaya,
atau membentuk bulatan, bermain susuk anak,..
dan pada waktu yang lain pula,
bermain dekcok hambat
atau dekcok kon,
membuat garisan bersegi di atas tanah.
Oh, indahnya zaman kanak-kanakku!!

Ah, aku rindukan semua itu!
Kala rindu menjelma
sesekali dibuka, dibelek,
diulang berkisah
menebar cerita lama
yang terlipat kemas dalam memori,
disimpan elok dalam diari hati,
agar riwayat diri tak akan hilang...

====getar rasa====
Liza Isma,
1 Jun 2013_10:40am/Sabtu

IBU RATU HATIKU



Mengapa ada hari ibu?
Merayakan apa saja
yang datang dari sebelah barat,
bukan acuan kita,
tetapi sebuah peniruan....

Bagiku hari-hari adalah hari ibu,
Tiada sedetikpun terlupa
Tentang kasih dan rindu
Tentang sayang dan cinta
Pada dia ratu hatiku
Insan yang bergelar ibu
Rindu ini tak pernah mati,
Walau kalian berdua telah dimamah bumi..

Mak dan mek,
Detikan rasa yang berbeza,
Rindu jua berlainan
Pada ketika yang berasingan
ingatan menjelma di sanubari
Namun, tak pernah sesaat
aku lupa, kalian berdualah
yang mengajar aku segalanya,
menjadikan perempuan tabah
Walau kalian telah tiada di sisiku,
Walau aku bukan seorang ibu,
Namun, aku mengerti kasih ibu,
pada anaknya...
Terima kasih bondaku berdua...

Getar rasa,
Liza Isma
10 Mei 2013/03:30_Jumaat

MIMPI BERTANDANG LAGI



Biarlah kenangan terus mengekori.......
kerana desah rindu masih bertamu hingga kini,
mimpi adalah pengubat rinduku, walau bertemu hanya seketika...
Lena senja tadi, kau datang lagi menjengahku,
menghulur kasih dalam sendu, walau hanya sekujur tubuh kaku
sudah cukup untukku menatap wajahmu walau dalam lena,
walau hanya mendakap bayangmu,
dapat jua memeluk ciummu, melerai desah nafas rindu ini…
Ah, rindu mekar kembali!
Moga kau damai di sana dalam rahmat-Nya,
biarlah aku terus membawa rindu ini
dalam kembara hatiku
mencari titik temu...

===getar rasa===
LizaIsma/07072013_2.00am/Ahad.