Friday, 13 April 2012

nasib Bahasa Melayu....layu di taman yang subur......

Gurindam Sayu Bahasaku

Tuai padi antara masak,
jangan nanti berbuah hampa,
tersedu pak tani, dadanya sebak…
padi yang gugur, hampa belaka,

Tuailah padi yang masak,
padi di kepok bercupak-cupak,
nasi ditanak, beraslah baru,
hidangan bersama sahabat baru….

Lalu..dalam gelita cahaya bersinar,
Dan…dalam lara pak tani pertahankan tanahnya;
namun...akhirnya, rezeki secupak perlu dikongsi
demi sebuah kehidupan…

Kala itu...terciptalah sebuah kisah;
Tanah itu….hak bersama, dan dalam titisan air mata
mereka relakan...
Maka, tika merdeka tercipta… bahasa menjadi satu,
Rakyat berpadu dibawah payung tuanku

Bahasa Melayu pun ditanam, kukuh dan padu,
152 akta termaktub, bersama 153,
Islam terpelihara dalam naungan Tuanku
lambang kedaulatan negara
merdeka dan berdaulat;
demi menjaga sebuah pengorbanan...
lahirnya dalam gembira...tapi jiwanya kelam...
sayu menerima hakikat....

Namun…bahasaku;
Gah di persada dunia, tapi layu di bumi sendiri...
Pohonnya mulai bergegar,
Rakyat leka tidak menabur baja,
tidak bersiram hampir layu…
adakah akan reput dimamah usia??...

Bahasaku dulunya, agung sebagai lingua franca,
Seantro dunia berdagang, Bahasa Melayu sebagai perantara,
Lenyapnya bahasaku, jatuhnya Melaka,
Berkurun lama nasibmu serupa…
hilangnya Tanah Melayu dalam peta dunia,
bahasaku jangan sampai hilang jua…
tapi, realitinya semakin jauh...
leka mencipta nama di persada dunia
bahasaku, kata mereka tak ke mana!!!!…

maka, menangislah Sang Pencinta Bahasa,
haru dalam aliran kemajuan,
tenggelam dibawa arus wawasan,
laungan hanyalah sesekali,
lalu…Bulan Oktober cuba dirai…
Hanya sekadar itu bahasaku, mampu berdiri…
maka...lahirlah, “Bulan Bahasa Kebangsaan”
demi mengangkat martabat di persada...
Tapi, siapakah yang peduli??...
Hanya kami, pencinta bahasa
yang mengerti, betapa laranya nasibmu!!!

Luahan rasa : 
za_tintamaya
18 Oktober 2010/6.45 pagi
 ______________________________________________
(Cetusan rasa – sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan SKPJ)
@Hak cipta – Hazliza Ismail'2010

Bahasa Melayu.....di mana tempatmu???


Bahasa Melayu Dalam Kenangan

Sopannya duduk, tersenyum manis
petah kata, bicara teratur
indah bahasa, budaya bangsa
tingkah dijaga, ukhwah terpelihara
huluran budi, jasa dalam ingatan
sepanjang hayat menjadi sebutan
warisan pusaka mahal harganya,
namun, tiada siapa yang berebutkannya,
terbiar sepi, di bawa arus masa
hanyut dalam gelinciran waktu
beredar merubah fatamorgana
rakus membina negara tapi bukan tamadun,
terbias menjadi arca dalam pandangan sepi,
senyum sinis menidakkan haknya….

Bahasaku indah sekali,
atur ayatnya puitis bermadah
pernah gah seantero dunia
menjadi nadi perhubungan insan berkelana
bersepakat mendapat nikmat dalam lautan rezeki
melimpah memayungi sejahtera rakyat jelata
menghirup manisnya percambahan budaya
menggarap tari irama lagu nan syahdu,
tersenyum manis si perawan,
usik mengusik si teruna,
joget lambak, berdondang sayang,
syair gurindam jiwa pasti membuai sayu,
seloka pantun menambahkan ria
masa beredar meninggalkannya jauh di belakang
hanya sesekali tersebut
dalam majlis si pengacara memukadimah,
penutup acara menambah serinya majlis…

Madah pujangga puitis sekali,
hanya jauhari yang kenal makna tersirat
riak rasa terlahir dalam sepi
hati terkenang mulut menyebut
hanya dalam makrifat, bukan hakikat,
hikayat lama terbiar lesu
layu dalam jagaan, tak bersiram
apatah lagi hendak dibajai
terbiar menunggu mati di bumi sendiri,
walaupun keranda pernah diusung
ia sekadar simbol tak bernilai
nilai harta tak setinggi duduknya
maka bahasaku masih begitu….

Saban waktu, sesekali terjaga
rupanya, masih lagi mengayam mimpi
mengigau pada siang hari
menjelang senja, ia lenyap tak berbahasa
biarpun meniti ufuk timur,
mentari barat tetap dominan
mereka yang berkatalah, empunya angkara
leka tak bertanda, arahnya hilang tak berpandu
makin lama makin lesu
pewaris Za’aba semakin sayu
pilu di kalbu tapi tak termampu
keluh kesah hanyalah lontaran hati
tapi ia tetap tak bererti
kata hati masih belum dituruti
tinggal diam dalam wasilah
terpateri kukuh, namun sekadar penyejuk hati
jika itu tiada, pasti bahasaku telah MATI…. 


Mainan rasa,
za-penaberkias/@HAZLIZA ISMAIL
5 Oktober 2011/1.35 pagi
(sempena menyelusuri ruang lingkup “Oktober : Bulan Bahasa Kebangsaan”)




Thursday, 26 January 2012

Madah Berkias : Moga Kau Mengerti...


GURINDAM JIWA LAYU

Hati tersayat sembilu hanyalah lagu,
lagu guridam dah tak merdu;
sayu hati pabila mengenangimu,
dalam tak sedar hiburan menjadi candu;
lebih mujarab daripada syabu.

Kiri kanan penuh liku,
hendak diredah jalannya kelabu;
tertutup mata dek tak seregu,
haluan tersasar terlanggar batu;
batu tajam serampangnya satu,

Jati diri semakin layu,
mudahlah jarum menikam kalbu;
tak tahu apa nasib generasiku,
kemelut pak tua mengharu-biru;
bangsaku tak lagi berpadu,
jerat mengena dalam kelambu,
gelapnya awan masih belum berlalu,
tertutup mata di sebalik hati nan kelabu….

Ilham rasa WARIS PUJANGGA;
Za-Tintamaya
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------
@ HAZLIZA ISMAIL
SOGO, KL
30 September 2011/5.30 petang

Friday, 16 September 2011

Kembara Alam Mencari Makna

(sinambungan puisi KIAMBANG BELUM BERTAUT)

Mengembara di bumi nan luas,
mencari prsoalan dalam sandiwara,
bertemu jawapan dari sudut berbeza,
kesahihan mesti berbukti,
tulisan lebih tajam daripada mata pedang...boleh membunuh...
sudut pandangan berbeza,
maka berdegar-degar menegak benang basah
namun,  tak juga tegak-tegak, sengaja mencari helah
maka, hidup jadi berpuak-puak, 
bersuku-suku segala waris, 
bergaduh bercerai-berai kerana tak sehaluan..
DAN YANG PASTI MUSUH ISLAM, bertepuk tangan
mengolah adu domba semakin GAH,
ibarat api dalam sekam...tak siapa pun sedar...
lalu...KAUMKU sanggup meratah daging saudara sendiri
demi servival hidup berpolitik...

MAKA, AKU YANG MERASA TEMPIASNYA 
hanya mampu melihat, kerana bukti ada di hadapan mata:
“Sejarah warisan MADRASAH tinggalan armahum tok ayah,
pusaka untuk cucu cicitnya bernaung dalam satu bumbung,
bermusyawarah dalam segala hal,
eratnya kekeluargaan, utuhnya silatturahim ketika itu...
NAMUN, telah terkubur,
bukan di tangan YAHUDI..tetapi bangsa seagama sendiri...”
adakah ia tak mustahil hangus membakar SEKAM itu???
maka, berjayalah bangsaku diadu domba,
keutuhan kekeluargaan pun menjadi longgar
sejak detik itu,
MADRASAH itu sepi tak bernyawa lagi...

Dari sejarah warisan yang kecil itu..
tak mustahil keruntuhan yang lebih besar...
pertelingkahan, perdebatan, semakin rancak
musuh pun semakin kuat kerana bantuan ada di mana-mana
dan mereka yang menjadi petualang adalah bangsaku sendiri!
sanggup menjatuhkan sesama sendiri dengan pelbagai fatwa pujangga
pelbagai jalan cerita yang menarik... namun, tiada yang mahu berfikir dengan bijaksana..
yang ada hanyalah fatwa pujangga dengan pelbagai versi..
berbalas tulisan, berdebat di pelbagai sumber..
menangkis segala dakyah, menghebah segala bukti
cuba memberi jawapan di sebalik segala tohmah...
maka, kesalahan pun diletakkan di bahu satu pihak..
kerana pihak yang lain menganggap dia adalah benar dan maksum..
maka, pelbagai andaian dibuat,
kesalahan itu puncanya satu...
HALUAN BERBEZA…..
MAKA, yang lain lebih kafir daripada orang kafir sendiri...
WALAUPUN SEDAR itulah musuh ISLAM sebenar..
lalu...bagaimana lagi????


Resah Hatiku,
9.00 pagi/14 Mac 2011

Friday, 9 September 2011

Tanah yang dulunya gersang, kini menjadi lembah nan subur.....


TANAH INI, DULUNYA GERSANG

Kemarau bertahun, aliran sungai lesu,
Tanah leluhur ini gersang…
berjuta doa dihimpun dengan penuh pengharapan…
mengharap lembah ini kembali subur,
tersohor seantero jagat raya…

kerana, sejak itu….tahun 1511
ranap sebuah Negara Kota,
maka, tanah leluhur inipun merekah
membiaskan sejuta kerakusan, ganas mencengkam nurani,
dan air mata, keringat hatta darah,
mengalir dalam sungai harapan..
biarpun kegersangan mengulit kehidupan
dalam kekalutan mencari makna kebebasan
tanah gersang ini, perlu disaliri air dari lembah perjuangan….

maka, bangkit sang rajuna dari lena yang panjang,
kerana, mimpi semalam…menyuntik sejuta harapan…
lalu, dikerah segala keringat, darah dan air mata…
lahirlah berjuta bintang gemerlapan,
biarpun kerdipan itu, cahayanya samar-samar
mampu menerangi ruang-ruang nan suram kala itu,
srikandi bangkit meniup semangat…
sang rajuna terus berjuang
biarpun terpaksa mengalirkan sungai darah,
keramatnya tangan yang menghayun buaian
dengan iringan kalimah doa nan kudus….
cahaya itu semakin terang menyuluh maya….

malam itu, detik keramat….31 Ogos 1957,
laungan kesyukuran bergema, gegak gempita membelah bumi
akhirnya, Negara Kota terbina kembali
tanah gersang ini telah mengalir sungai harapan….
dan hari ini, tanah yang dulunya gersang,
subur menjadi lembah menghijau
sungai harapan terus mengalir meredah maya,
dan,  akar-akar berserakan berebutkan nikmatnya…
pun begitu, rahmat dikecapi bersama
kerelaan dalam keterpaksaan
demi kelangsungan harga sebuah perjuangan…

pun begitu, janji termeterai…
hak yang beralah, tetap terpelihara,
dijaga dalam naungan 152 bersama 153, di bawah bumbung perlembagaan…
Agama Allah anutan rasmi, Bahasa Melayu sebagai lingua franca,
riwayat menjadi saksi, titah raja titah berdaulat,
tanah leluhur ini mesti dijaga, agar kedaulatan ini kekal selamanya…..
maka, raja bertitah;
“Kami, Raja-raja Melayu bersetuju memperturunkan kuasa
bagi menjamin serta melindungi hak dan keistimewaan
Orang-orang Melayu & Pribumi, maka kami peruntukkan
separuh daripada hasil bumi ini adalah hak Melayu & Pribumi
(termasuk Sabah & Sarawak selepas itu), dan kamu rebutlah separuh lagi untuk dikongsi bersama semua bangsa secara sama rata,
Dan, kami tubuhkan pasukan Polis dan Askar Melayu Diraja untuk menjaga keselamatan dan menjamin keamanan negara
Dan, kami angkat Agama Islam sebagai agama persekutuan, dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Negara Persekutuan Tanah Melayu…”

Akhirnya, dengan penuh berkat dan rahmatNya
rakyat jelata hidup aman bahagia di tanah bertuah ini, 
dalam paduan janji yang termeterai..
mengecapi berjuta nikmat Illahi…penuh syukur…

didedakasi untuk para pejuang, lahirnya bumi Malaysia ini…
ikhlas,
Za_Tintamaya