Monday, 10 December 2012

JANGAN SUKA PERMAINKAN KATA-KATA...

~~Jangan Permainkan Kata!!~~

Ah, jangan kau bermain kata!!
Jangan berkata lembut gusi daripada lidah,
Jangan biasakan ungkapan lidah sering tergigit
Jangan berkata tanpa melihat sisimu
Jangan berkata tanpa dengar belakangmu
Berkata siang pandang-pandang,
Berkata malam dengar-dengar,
agar tiada hati tercalar luka
pedih tak berdarah...

Ah, jangan kau persendakan kata!!
Jangan hayun bongkahan kata sesuka hatimu,
Jangan hulurkan luahan kata nan berbisa,
Jangan hantarkan tamparan kata nan pedih,
Jangan hadiahkan sebilah kata nan tajam,
Jangan tambahkan garam pada calitan kata nan berbisa
Dengan sepatah kata, bisa saja kau cincang lumat rasa hati.
Jika katamu penuh muslihat, pasti saja tempias mengenai diri
dan, pasti saja pabila dongengmu disedari,
kau pula yang akan terluka.....

Waktu itu, penyesalan tak bererti lagi
kerana hati yang telah dicincang lumat,
pasti sukar bercantum kembali!!

lizaisma/11122012_1.00pagi
Selasa_DP.KL.

Selagi terdaya, aku akan terus melakar kata, biarpun hanya sepatah kata!!!

~~Inilah Lakaranku~~

Terkadang aku terfikir sendiri. Begitu banyak kekata telahku luah, adakah memberi makna?? Atau sekadar lakaran-lakaran tak berdakwat??? Atau juga seperti lakaran garisan nan terputus-putus, yang mana tak siapa pun mengerti!!

Terkadang aku berillusi sendiri, moga kekataku memberi berjuta makna. Dan aku akan berfikir semula, ada maknakah dalam lakaran yang kuconteng itu?? Atau sekadar contengan berselerak bagaikan anak kecil baru belajar memegang pena??

Ah, aku tak peduli!! Biarpun tiada makna, atau mereka takkan memahami maknanya, aku tetap akan terus membuat contengan mengikut imaginasiku. Kerana aku tahu, setiap contenganku tetap ada makna yang tersirat dan tersurat. Biarlah jika mereka tak mengerti, kerana aku tahu akan maknanya kerana itu adalah contenganku!!

Ah, aku tetap akan terus menconteng di sini!! Biarpun, pada akhirnya tiada seorangpun sudi menyinggah melihat contenganku!! Kerana dari dulu hingga kini, aku telah mencatat kerana itu jiwaku. Aku pernah berseorangan berkelana dalam "Puisi Alam Maya", maka jika aku kembali keseorangan, aku tak peduli kerana aku sudah biasa berseorangan... hingga kini!!

Pada teman-teman yang sentiasa menyokong, dan sudi singgah bersama-sama menatap setiap contenganku, daku ucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Hanya Allah jua merahmati kita semua dalam setiap apa yang kita lakukan. Semoga ada segaris senyum dalam melewati waktu-waktu mendatang dalam penghasilanku ini....Insyaallah...

TERIMA KASIH SAHABAT-SAHABAT, YANG SUDI DAN SENTIASA SINGGAH PADA SETIAP CONTENGAN YANG KUKIRIMKAN DI LAMAN MAYA INI!!

Liza Isma,
~Akan terus melakar kata selagi terdaya, kerana itu adalah minatku...biarpun mereka tak mengerti!!!

10 Disember 2012/3.52pm_Isnin
Desa Pandan, KL.