Friday, 8 February 2013

KARYAKU 2 : SEMILIR RINDU




Petang ini, angin berpupuk lembut. Angin nan berpupuk mengirimkan rasa dingin amat. Rasa nyaman ini menghantar rasa syahdu di kalbu. Suasana alam agak muram kerana titisan hujan baru sahaja reda. Tetiba petang ini, dia teringatkan laman yang sudah lama tidak dijengah. Laman yang dulunya tempat dia jatuh bangun bermain bersama teman.

Sudah agak lama dia tidak ke mari. Menjengah laman ini, bermakna mengajak dia bermain dengan rasa. Dia tidak sanggup untuk selalu datang ke mari. Ada sendu menerjah tangkai hatinya. Ada sebak menusuk kalbu. Ada rindu menggetar nurani.

Jika ke mari, pasti hatinya akan berbisik tentang kasih dan rindu. Kerana itulah, dia jarang ingin datang ke mari. Dia tidak tega menatap segala kenangan yang ada di laman ini. Ah, sakitnya menanggung rindu!!

“Bila kau balik?” Tiba-tiba dia dikejutkan oleh suara seseorang menegurnya. Lantas dia menoleh. Terpandanglah seraut wajah tua yang ralik menatapnya.

“Baru saja sampai ayah!” Lalu dia menyalami tangan ayahnya itu. Kemudian, seperti biasa dia menciumi pipi ayahnda tercinta. Ada sendu di hujung hati mengiringi perlakuannya itu.

“Ayah apa khabar?” Dia menanyakan khabar sambil merenung wajah tua ayahnya itu. Terdetik di hatinya sedikit penyesalan kerana sudah agak lama dia tidak pulang menjengah wajah tua yang banyak berjasa itu.

“Ayah sorang saja di rumah?” Matanya melilau ke dalam rumah kerana didapati suasana agak sunyi.

“Ya, Mak Su kau baru saja balik ke kampungnya… Tadi, Najmi datang jemput maknya… Katanya, Zura ada balik…lama lagilah tu nak balik ke mari…” Terang Pak Su Daa perihal emak tirinya.

Dia masih berteleku di ambang. Ralik benar memerhati keliling laman. Ada sesuatu yang menerjah akal fikirnya. Seperti biasa, di hujung fikir pasti dia mengeluh….

“Kenapa tak masuk dalam? Sejuk di luar tu….” Pak Su Daa memotong lamunannya.

“Tak apalah ayah….kejap lagi, saya masuk…” Dia menjawab seraya bangun menuju laman.

Dan Pak Su Daa sudah faham benar jika dia sudah mula menjengah laman. Pasti lama dia duduk termenung di dangau itu. Pak Su Daa tahu, anaknya itu sedang menghitung rindu….Lalu dia juga turut termenung.

Liza Isma,
>>> Suara hati di hujung tinta….

8 Februari 2013/Jumaat