Wednesday, 26 September 2012

Wahai semangat diri, bangkitlah mendaki puncak!!


BANGKITLAH SEMANGAT!


Pohon kelapa tinggi mencelah,
bayu berpupuk menyapa wajah,
biarpun semangat hampir rebah,
bangkit berdiri membina tabah.

Hendak didaki tingginya puncak,
hati bertelingkah berkata tidak,
rebah sebelum sampai ke puncak,
jatuh sekali kembalilah tegak.

Bulan mengambang indah purnama,
kala gerhana alam gelap seketika,
sujud syukur pada Yang Esa,

diri masih dapat melihat dunia.

Tinggi puncak sukar didaki,
lembah juga susah dituruni,
kaki tersadung terpijak duri,
terhenti seketika semangat diri.

Alam maya luas terbentang,
handak diredah bukan sebarang,
bangkitlah semangat mari berjuang,
genggamlah olehmu sebuah menang.

Bangkit asal pujuklah diri,
jangan diikut katanya hati,
pupuklah semangat di dalam diri,
pasti hidup akan lebih bererti.

Biarpun patah tempat berdiri,
sematkan tekad cekalkan hati,
genggam tanganmu biar berapi,
bangkitkan semangat dalam diri.


~Biarpun berkali-kali rebah, takkan patah semangat!~
Liza Isma...terus ingin mendaki tingginya puncak!...

Senjakala ini,
26 September 2012/08.00pm
Desa Pandan, KL.


Tuesday, 25 September 2012

Wadah Punjangga Penuh Tersirat di Sebalik Tersurat..


PANTUN NASIHAT NAN TERSIRAT

Semakin kufikir semakin kelam,
Alam nan cerah seperti malam,
Mentari pula kian berbalam-balam,
Kerana minda diselaputi dendam.

Alam maya makin gelap gelita,
Masih teraba-raba mencari cahaya,
Angau tidak hanyalah lara,
Pedih berdarah tapi tak luka...

Luka tersiat tajam menikam,
Gunting dalam lipatan tertikam sendiri,
Bagai asap berkepul di dalam sekam,
Tak tahu siapa yang mencucuh api.

Anak kerbau mati tertambat,
Menyesal kemudian tak berguna lagi
Kerbau mati sedarnya dah lambat,
Untung nasib menanggung rugi.

Satu dua tiga kancil mengira,
Buaya diam menunggu laba,
Si kancil bijak lepas ke sana,
Buaya melihat, marahpun tak guna.

Hendak ke seberang tiada perahu,
Duduk termenung di tepi aur,
Menunggu biduk akan lalu,
Namun tak juga mahu berundur.

Wahai, anak muda pewaris bangsa!
Bangkit berjuang penuh semangat,
Janganlah kita lupa dan juga leka,
Kuasa hilang menyesal dah terlambat!!!!!

Za_Tintamaya
~menyelongkar kemelut yang semakin kalut, hingga hati semakin kecut...~
25092012/07.50pm
DP/KL/sel..


Thursday, 20 September 2012

Lembah nan subur...himpunan sejuta rahmat..

Pohon Kehidupan di Bumi Melayu
(Didekasi untuk pejuang negara bangsa; dulu, kini dan selamanya…)

Suatu ketika di hujung senja;
Moyangku telah menebas onak duri,
menggali harapan di tanah leluhur ini…
Dengan kudrat yang ada, dia meredah maya
merancang segala demi masa depan cucu cicitnya…
maka… dengan jiwa yang tulus, diiringi semangat kental
dia menongkah arus, meredah gelombang
Kaum kerabatnya bergolak bergadai,
Demi sebuah kebebasan, emas permata jadi taruhan,
Kerana…biar hilang harta di badan, jangan maruah terus diratah….
Cukuplah, setakat ini!!!
hutan galian terdampar di bumi Tanah Melayu ini,
telah banyak dirompak, kerana takut nanti…,
khazanah warisan cucu cicitnya takkan tersisa lagi!!!
Maka, demi tanah bumi sendiri,
Mereka bangkit memenuhi tuntutan,
Sebuah kebebasan!!!
Kerana, sudah tiba masanya……memahat azam,
Demi menanam sendiri pohon kehidupan di bumi bertuah ini…
agar khazanah tanah leluhur ini tidak terus dirampok…

Kerana….semenjak ranapnya Negara Kota,
akibat kealpaan pemerintah, dan liciknya si pengkhianat negara…
lalu, rentetan itu telah mengheret derita berpanjangan,
warganya terpaksa menikus di tanah sendiri…
Natijahnya…..,telah menghimpun segenap rasa kelam
Kerana berabad lamanya, tanah leluhur ini dibongkah, digali….
banyak keringat, darah dan air mata
tumpah menitik membasahi bumi ini,
lalu…..demi menuntut hak sendiri….
Para moyangku pun berpencak silat dengan akal
Mengumpul segala jalan mencari rentak tari yang akan memukau para penjarah
agar tanah ini tidak terus dicengkam gersang,…
cukuplah setakat ini….diekori mimpi ngeri
sudah tiba masanya untuk bangkit menegak panji-panji
demi membina kembali runtuhan Negara Kota
untuk kelangsungan hidup generasinya,
demi kedaulatan tanah leluhur ini yang sekian lama tercabar….

Lalu, para moyangku pun mencambahkan benih harapan
bersama kaum kerabatnya, bermuafakat berbincang segala….
pun begitu, bukan mudah merencana sebuah harapan
berbagai cara menujah akal fikir,
dan pelbagai kata dilontarkan
namun dalam petah meluah kata, madah bicaranya lembut sekali….
dibentang agenda terencana,
demi meyakinkan si pemajak….agar dipulangkan kembali tanah ini,
kita mahu meneroka dan menanamnya sendiri,
dengan cara dan kebijaksanaan pemilik asal mentadbirnya….

Namun, dalam kemelut menggapai impian,
bongkahan batu menghempap gemala, 
lemah longlai segala jasad,
demi mendengar pra syarat sebagai taruhan….
belati menghunus tangkai hati…
tajam tertusuk sembilu, ngilu tak berdarah
namun, di dalam pedih, bagai tak tertampung dalamnya luka….
pun begitu….,
demi penderitaan yang lama tertanggung,
demi sebuah kebebasan yang mutlak…
maka, dengan hati yang berat, terbias alur di jiwa yang tulus
biarpun, ini bukan seperti apa yang diharapkan
namun, para moyangku terpaksa akur….
menerima…seadanya, demi menghirup udara nyaman
sebuah kehidupan yang bebas dan berdaulat
di tanah milik sendiri….

Akhirnya, tanah leluhur ini terpaksa menerima “Jossuli”
sebagai pemangkin sebuah kebebasan…
dalam keterpaksaan menerima sebuah perjanjian
pun begitu, dengan kebijaksanaan payung diraja,
yang menaungi rakyat jelata…
Kata moyangku, Raja bertitah;
“Kami, Raja-raja Melayu bersetuju memperturunkan kuasa bagi menjamin serta melindungi hak dan keistimewaan Orang-orang Melayu & Pribumi, maka kami peruntukkan separuh daripada hasil bumi ini adalah hak Melayu & Pribumi (termasuk Sabah & Sarawak selepas itu), dan kamu rebutlah separuh lagi untuk dikongsi bersama semua bangsa secara sama rata, 
Dan, kami tubuhkan pasukan Polis dan Askar Melayu Diraja untuk menjaga keselamatan dan menjamin keamanan negara,
Dan, kami angkat agama Islam sebagai agama Persekutuan bagi negara, 
dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Negara Persekutuan Tanah Melayu…”

Termenung di jendela,
Mengimbau peristiwa semalam yang tercatit dalam himpunan sejarah;
mengintai suasana dalam senja nan remang....
mengimbas kembali detik kebebasan,
dengan rasa muhibbah, akur akan hakikat
terpateri kukuh dalam paduan janji…

Namun kini,
kisahnya seperti taji memakan tuan…
hati tersentak, torehan rasa berdarah di dalam…
Kerana….ngilu rasa di jiwa, bimbang menujah rasa
melihat pohon kehidupan yang ditanam para moyangku mulai goyah…
reranting bangsanya ditujah titik-titik kehitaman,
dedaun yang merimbun telah menampakkan kelayuan,
kerana kealpaan menyiram baja persefahaman
akibat sentiasa menghirup hawanya nan dingin,
aman meneguk suasana selesa dalam pelukan subsidi….
dedalu yang menumpang teduh lebih kuat dari pohon asal…
hidup subur menghirup rezeki,
menyedut nyamannya bayu berpupuk,
menjalar bebas membina identiti yang teguh dan padu;
biarpun jauh dari rumpun nan asalnya…,

Dalam keselesaan mendiami lembah nan subur ini,
pohon kehidupan bangsa pula semakin layu…
biarpun kita membajai dan menjaganya sendiri
dengan hak dan kuasa yang memang milik kita,
malahan, wahyu yang terangkum juga telah diinjak-injak
pohon bangsa semakin dicengkam pelbagai rasa,
keliru dalm pelbagai rentak fatwa pujangga,
diheret berbagai kemelut merantai jiwa, 
paduan hati semakin menjauh…
kerana ada yang tega menghirup bisa racun bermadu,
dan…, waris sendiri yang menaburinya di jalanan,
menambah bisa yang diserap dalam senyap,
makhluk perosak menunggu kealpaan kita….
Kerana…waris Si Kitol,
pengkhinat itu masih hidup rupanya,
bernafas dalam udara berkabus,
lemas dalam nafsu bertopeng malaikat,
api merebak di dalam sekam, asap berjerubu…
tak tau mana pangkal mulanya???
Dalam senyap, ingin membakar daging bangsanya sendiri!!!

Tafsiran akal adalah hakikat…,
bersandarkan gelombang riak rasa,
terentang makrifat di hadapan mata…
terang dalam suluhan cahaya nan benderang…
mata meneropong, hati melihat dengan jiwa,
pedih menikam tercucuk duri dalam daging
begitu ketara sekali, dalam pandangan jauhari….,
telah nyata kini, akar tunjangnya sudah tidak kuat lagi
baja paduan sudah tidak menjadi,
sungai bangsa terus berselirat dilimpahi sarap
alirannya sejuk, tetapi minda diracuni agen perosak,
menuba bangsa yang alpa pada rentetan silam,
demi memerangkap akal fikir beralih arah,
mengheret bunga bangsa dalam kemelut resah
kerana telah ada yang termakan madu nan beracun
lalu, ia menjadi wadah atas nama perjuangan
kerana, ada yang telah alpa pada wasilah,
bertindak menentang arus, melawan wasiat diraja;
lantas, mencabar daulat pohon bangsanya sendiri….
malahan agama jadi bahan jajaan, hatta di jalananpun…

Lalu…,dalam merenung tafsiran maya;
akal sedar membangkitkan seribu rasa
gundah mencantas minda, menujah seribu rasa….
kalut di kalbu, mentafsir kemelut dalam kelambu
menujah akal hingga bercelaru…
terimbau igauan semalam, hati dirasuk bimbang;
bimbang sejarah Negara Kota berulang,
firasat sukar diterjemahkan,
kerana…jika itu terjadi,
tanah leluhur ini bukan lagi milik mutlak kita…
akar bangsa pastinya sukar untuk bangkit lagi,
atau ia mungkin takkan tumbuh lagi???
Amat sukar untuk mencambahkan semula pohon kehidupan,
kerana akarnya telah diracun bisa yang maha hebat….
pasti ia tidak ampuh lagi, 
menampung tegak rimbunan pepohon bangsa,
kerana terlalu ramai bijak pandai, 
namun, tak boleh ditumpang,
dan yang dungu pula tak makan diajar…
lalu, bagaimana???

Maka…persoalan pun menerjah akal sedar…;
Adakah ribuan pahlawan akan bermandi darah dan keringat sekali lagi??
atau para ibu kehilangan anak tersayang,
anak-anak kecil menjadi yatim,
takpun si isteri menjadi balu, hilang rimbunan dahan berpaut??
pastinya sekali lagi mengheret derita bermusim lamanya….
Atau berapa abad pula baru bertemu penawarnya,
menangkis segala racun yang menular???

Cetusan Hati Nurani;
~Za_Tintamaya~
....menyelusuri perit jerih perjuangan menuntut kebebasan, ....luahan hati merayu, memohon bersama-samalah menghargai & menjaganya.
1 Ogos 2011/9.30 pagi
(Ubahsuai 5.45 petang/3 Oktober 2011-SOGO,KL)

NASIB SASTERA MELAYU.....Pasti Lebih Miskin daripada Bahasa Melayu!!!


Antara INTIPATI Pelan Pendidikan Negara : Kemunculan mata pelajaran WAJIB SASTERA INGGERIS.

Jika hari ini SASTERA MELAYU kelihatan seperti MAKRUH sahaja dalam sistem pendidikan, di mana haknya di sekolah dipandang remeh dan tidak diberi perhatian khusus seperti mata pelajaran BAHASA INGGERIS, maka tidak mustahil selepas ini nasib SASTERA MELAYU terus lenyap. Hal ini kerana tentunya pelajar diberi pilihan antara Sastera Melayu & Sastera Inggeris, seperti berlakunya pembelajaran Dwibahasa dalam mata pelajaran Matematik & Sains walaupun PPSMI telah digugurkan.

Oleh itu, idea pemantapan MBM sengaja diwujudkan dengan harapan  dapat mengaburkan istilah peningkatan MBI yang dilahirkan secara berkembar. Dalam hubungan berkembar ini sudah pasti wujud ketidakadilan dalam mencurahkan perhatian. Natijahnya, BAHASA MELAYU tetap dikedudukan KELAS KEDUA. Para pelajar hanya belajar untuk LULUS bukan diserapkan ke dalam minda untuk menyayangi dan menghargai tamadun bangsa sendiri, kerana pihak penggubal DASAR sendiri yang merelakan konsep ini berlaku.

Walaupun kelihatan seperti telah memberi jaminan bahawa kedudukan Bahasa Melayu terus diangkat dan diletakkan di tempatnya, namun sebenarnya “JAUH PANGGANG DARI API”. Apa yang sedang dirangka dan akan dilaksanakan adalah sekadar memenuhi tuntutan rakyat bawahan agar tidak terus mendesak. Dan dalam masa yang sama golongan ELIT mendapat perhatian yang lebih TINGGI!!!!

Bagaimanakah nasib Sastera Melayu pada masa depan???
Adakah akan menerima tempias kedudukan Bahasa Melayu yang dinafikan haknya dalam negaranya sendiri??
Rakyat mungkin tidak lagi  membaca karya-karya Sastera Melayu, tetapi lebih selesa membaca karya-karya Sastera Inggeris?

Jika Bahasa Melayu yang mempunyai hak yang termaktub dalam PERLEMBAGAAN pun boleh diceroboh, apatah lagi nasib Sastera Melayu?? Pastinya akan dipijak-pijak sesuka hati tanpa belas kasihan sehingga para pencinta Bahasa dan Sastera pun,  mungkin tak mampu berkata apa-apa lagi!!!

Maka semakin leburlah jati diri Melayu itu sendiri!!
Jangan melatah jika anak-anak muda sudah tidak kenal dan memijak-mijak gambar pemimpinnya sendiri!!!
Mungkin suatu masa nanti mereka akan kenal seorang presiden yang lebih hebat di barat!!...

Wednesday, 19 September 2012

Dalam arus kemajuan, Layar Bahasaku berkibar, tetapi tiada arah haluan yang pasti..

Layar Lara Bahasa

Bahasa umpama bahtera
nakhoda pengemudi haluan
layar berkembang bersama masa
merempuh laut gelora
menuju pantai kehidupan
menduga rasa cinta bangsanya
tinta madah tajam menikam
menjunjung daulat martabat bahasa.

Dalam arus deras
merentasi gelombang massa
mengharungi cabaran globalisasi
mencipta tamadun bervisi
dalam pencak silat teknologi
mencetus suatu misi
bahasa tegak berdiri
ditabal bahasa rasmi,
bahasa pengantar, jadi perantara
padu dalam lipatan hikayat.

Bahasa puitis, indah bermadah
teras perpaduan sejagat
terhimpun dalam rumpunan budaya
terisi dalam wadah
akur dan wajib dipelajari
anak-anakku dididik cerdik
bercambah ilmu, tajam akal,
agar tidak dikata dangkal
kukuh berdiri dalam semangat patriotik
menjana tamadun warisan bangsa…

Jauh nakhoda mengemudi bahtera
layar bahasa liuk lentuk mencari arah
hingga kini, bahtera BAHASA
belum sampai ke destinasi!!!!

Za_Tintamaya/SKPJ
12 Oktober 2011/2.00 petang.

Tuesday, 18 September 2012

Semakin lama kuberfikir, semakin membelit hatiku...

TERBELIT

Semakin kufikir semakin berbelit
mindaku pula menjadi ralit
aku terasa semakin terhimpit
lorongnya pula semakin sempit
mengharap diri tidak tersepit
parah jika terus terpesit-pesit
takut nanti terlanggar pelesit
nanti takut parah kena gigit
sakitnya pasti berdecit-decit
pedihnya pula berdesit-desit
hanya menahan terkesit-kesit
hati menangis menahan sakit!!!

~Semakin berfikir, minda menjadi sakit~
Liza Isma...menyelusuri jalan yang berliku, namun hujungnya begitu sempit...
18092012/04.45pm
Desa Pandan, KL.

Sunday, 16 September 2012

Dari relung hati, lahirlah madah bicara...menerusi bait kata PUISI LUKISAN JIWA


PUISI LUKISAN JIWA

Inginku lakarkan sebuah madah,
tapi tiada kata-kata indah nak kuluah
inginku lukis sebuah wajah,
namun, aku hanya terdaya melukis wajah rindu...

Inginku tafsir sebuah mimpi,
namun, aku bukan seorang yang arif
inginku jejak langkah semalam
tapi jejak-jejaknya telah hilang....

Inginku ukir sebuah singgahsana,
namun, aku bukan seorang pengukir bestari
inginku bina sebuah harapan
tapi harapan itu masih kelabu....

Inginku berlari ke puncak,
namun, puncaknya terlalu tinggi
ingin ku terbang ke sana
tapi sayapnya telah patah....

Lalu......
kutebarkan segala rasa,
kumadahkan segala kata,
kuaturkan setiap langkah,
kubina sebuah keyakinan,
kudaki sebuah harapan,
kuukir cetusan hati,
dan....
kujadikan sebuah puisi lukisan jiwa
biarpun tanpa warna nan indah
biarpun tanpa kata nan puitis
biarpun hanya tintamaya semata
namun,
cukup mengasyikkan
cukup mendamaikan
cukup membahagiakan
kerana aku hanya
sekadar meluah apa yang dirasa....



~Detikan rasa, luahan hati, terlakarlah kata dari relung hati.~
Liza Isma…masih ingin menyelusuri ke dasar hati, agar himpunan tintamaya menjadi koleksi Puisi Lukisan Jiwa...
30082012/08.00pm
Desa Pandan, KL.

Duhai sayang, izinkanlah aku pergi dari hatimu...



BIARKAN KUPERGI

Izinkan kupergi
Lepaskanlah dengan kerelaan hati
Jangan kau pasungku lagi
bebaskanlah aku dari penjara janji
kerana tiada erti jika masih begini
Biarpun jauh aku pergi,
kau sentiasa di hati ini...

Duhai, sayang!!
Biarkanlah aku pergi
Pabila kau merayu begini,
lagi sukar kumelangkah pergi
tapi di sini jua kutak betah lagi
tiada sudahnya kita begini...


Telah terlalu lama kurebah dalam ujian
tersesat dalam relung hati
ingin keluar jalannya jauh
kumerayu agar kau hantar kupulang
biarkan saja kita bersahabat
jika kita masih begini jua
relakanlah kupergi...

Kumasih mengharap sinar
dalam kelam cahaya malam
kumengharap bulan mengambang
menyuluh malam nan gelita
Kiranya di hadapan masih ada ruang
namun tak jelas tertutup dek bayang
maka teraba-rabalah aku dalam kelam
mengharap mentari pagi bersinar terang
membawa daku pergi
dari relung hati yang suram
mendiami maya yang lebih gemilang
mengharap restu rahmat Illahi...

~Za_Tintamaya~…masih menyelusuri jalan berliku untuk keluar dari relung hati, mengharap ada jalan di hujung impian…
17092012/8.50am
Desa Pandan, KL.