Sunday, 21 October 2012

INDAHNYA HARI INI, kerana telah bertemu teman serasi di taman seni...



INDAHNYA HARI INI

Dulu, aku begitu celaru...
jiwaku seakan dipalu,
hati tersayat pilu,
minda  seperti membeku,
lidah seakan kelu,
hampir-hampir aku menjadi bisu
kata-kata tak lagi bertamu
hampir saja aku mahu berlalu,
membawa diriku lari dari situ...

Kini, hidup kembali berseri
ditemani cahaya mentari,
serta rembulan pada malam hari
melimpah cahaya sinar gemerlapan 
menyuluh sekitaran ruang di taman seni,
riang gembiralah aku di sini,
ralit menyulam bait-bait aksara
melakar seuntai madah,
membajai bebunga seni agar terus subur
berkembang mekar dalam aneka warna...

Kini, hidup begitu indah
telah bertemu teman serasi,
bersama-sama mengutip gugusan ilham
lalu kita lakarkan seuntai madah..
Di taman seni ini, kita bebas berlari-lari
mengejar rerama cantik berwarna-warni,
biarpun sesekali pepatung menggigit jari
tak terasa pedih di hati,
kerana leka menatap indahnya taman ini
dipenuhi bebunga seni beraneka warna, 
menceriakan alam seni yang dulunya suram...

Za_Tintamaya
~hati menari-nari meraikan indah suasana, bertemu teman serasi di taman seni ~

20 Oktober 2012/11.40pagi
dp/kl.

Sunday, 14 October 2012

Antara Hujan dan Air Mata....tetesannya membebat sejuta rasa...


ANTARA HUJAN DAN AIR MATA

Air mencurah membasahi dada bumi,
mengalir deras bak tetesan air mata
kala hati terluka…
Ke manakah arahmu?
Menuju muara atau tersekat dalam timbunan sarap?
Atau tertimbus di celahan runtuhan batuan?

Luka mengalirkan darah hanyir likat
rakus membebat rasa
mengaut untung dalam kantung
di celahan deraian tetesan air mata
kemarau nan kontang
menghantar haus dahaga,
air mencurah sehari tak mampu
menghilang resah setahun
kerana kemarau lebih lama menghuni
dari hujan yang mencurah-curah hari ini!!

Mata melihat akal berputar,
putaran waktu begitu cepat,
dari kelam membawa terang
namun, dalam cerah mentari
masih juga menghantar suram
anak watan mampu melihat
terkedu dalam arus deras metropolitan
berkejar bersaing merebut hak
adakala kaki tersadung
luka bernanah
namun, penawarnya belum ada
maka terpesit-pesit menahan sakit,
dan hati di dalam tersedu menahan tangis...
Ah, rupanya hujan air mata masih belum reda!!!

~Liza Isma~
...sekadar bermain kata, kala menikmati hujan lebat, namun hujan air mata kita pasti senada...

13 Oktober 2012/12.00 tengah hari
Desa Pandan, KL.
(kala hujan membasahi bumi)

Saturday, 13 October 2012

Liza Isma...berkelana mencari "Di Mana Hatinya?"


DI MANAKAH HATIKU?

Tiba-tiba kuterjaga dari lena
fikiranku pun mula berkelana
menggembara jauh ke seluruh alam semesta
dalam kelam cahaya nan suram
aku mencari-cari, 

di mana letaknya hatiku semalam??
Dalam kelam fajar, aku teraba-raba,
tercari-cari di segenap ceruk alam,
aku masih belum menemuinya,
aku terdiam kaku sambil akal berfikir,
bertanya-tanya pada diri sendiri,
di mana arah nakku mula mencarinya??
Kerana aku terlupa, di mana telah kutinggalkannya??
Adakah aku bisa menemuinya??

Akhirnya, aku termenung kelelahan
lelah dek penat mencari-cari 

berkelana di segenap ruang maya
aku terlupa di mana hatiku telah kusimpan?
Di dalam gobok atau di atas para-para?
Di dalam kamar atau di taman nan indah?
Atau telah kucampak di lorong masa?
Atau terkurung di penjara janji?
Biarpun seluruh alam telah aku selongkar,
namun, aku tetap tak menemuinya!!

Akupun bertafakur dan tertanya-tanya sendiri,
di mana letaknya sekeping hati??
Aku masih samar-samar, tercari-cari di mana tempatnya?
Kerana dulu kusimpan kemas dalam lipatan
tak siapa dibenarkan membukanya!!
Kini, baru aku menyedarinya

tersedar untuk mencarinya kembali,
namun, aku masih belum temui jua...
Ah, sukarnya hendak mencari sekeping hati!!
Lalu akalpun tertanya-tanya, 

di manakah letaknya hatiku??
Oh, aku tak mampu menjawabnya!!
Kerana hingga kini fikiranku masih kabur,
aku tak pasti, di mana hatiku berada??
Tolonglah cari hatiku!!

~Liza Isma~
....dalam menunggu fajar menyingsing, berkelana mencari di mana hatinya kini...

Fajar 14 Oktober 2012/6.00 pagi.
Desa Pandan, KL.

Saturday, 6 October 2012

Nasib Bahasa Melayu masih belum menentu...samar & kelam!!!


NASIB BAHASA MELAYU MASIH SAMAR

Malang sungguh nasibmu bahasa Melayu, perlu mengemis untuk hidup di negara sendiri yang meletakkan tarafnya sebagai BAHASA RASMI NEGARA!!
Hingga bilakah nasibmu akan begitu?? Para pencinta bahasa terpaksa berjuang dan merayu-rayu demi masa depan bahasa di bumi Melayu sendiri....

  Bahasa ibunda pernah gah seantero dunia, kerana pada waktu itu kita belum pandai berkata-kata bahasa nan lain. Hari ini apabila kita sudah terlalu arif bahasa lain, maka bahasa sendiri menjadi beku. Mereka malu untuk menuturkannya, malahan terasa seperti orang kampung yang berada jauh di hulu-hulu.

Lantaran itu, amat sukar mendaulatkan bahasa ibunda kerana mereka yang berada di puncak tidak begitu kisahkannya. Mereka yang berkata menyeru pendaulatan bahasa sekadar mengambil hati para pencinta bahasa, kerana mereka sendiri tidak betah berkata-kata.

Jika mereka nekad pasti isu PPSMI telah lama lenyap. Tidak perlu diadakan rundingan demi rundingan. Pelbagai meja bulat dibuat untuk berbincang, tetapi akhirnya diserahkan semula kepada rakyat. Maka, dalam situasi begini, pihak cerdik pandai yang lantang memuja bahasa asing akan lebih dominan kerana rakyat bawahan yang tak berkedudukan pasti diketepikan suara mereka yang dilihat tidak menyumbang apa-apa. Benarkah begitu?

Ini kerana MBM, terpaksa bersaing dengan MBI untuk menutup kemelut PPSMI!!! Hanya sekadar itu bahasa Melayu tiba-tiba menjadi popular akibat riuh diperdebatkan kewajarannya dalam sistem pendidikan di negara sendiri.

  Dan para pencinta bahasa akan tetap berjuang dan terus merayu sehinggalah pihak berkenaan terkesan dengan rayuan kita. Jika tidak terkesan juga, maka begitulah selamanya nasib bahasa Melayu!!

 *        Ditulis sempena menghayati Bulan Bahasa Kebangsaan. Apakah usaha pendaulatannya benar-benar memberi kesan?? Atau sekadar kata-kata  penyejuk jiwa rakyat jelata??


Sekadar mencoret apa yang dirasa..
Liza Isma/08102012

Bumi bergerak di atas paksinya, mengelilingi orbit, mengikut aturan PenciptaNya...



PUTARAN WAKTU

Pada remang senja ini,
mentari akur bersembunyi di sebalik tabir
memberi laluan pada lorong waktu
berubah arah menjemput rembulan
meneman malam yang kelam
sehingga fajar menjelang lagi
berubah kembali lorong waktu
pada cerah sang mentari
menebar cahaya pada semesta alam
menabur bakti pada Illahi
tiap detik tak berhenti
tetap pada aturan PenciptaNya
bebas bergerak dalam putaran waktu!!

Kerana bumi bergerak di atas paksinya, 
mengelilingi orbit,
akur dan patuh
mengikut aturan PenciptaNya
siang berganti malam
mentari bertukar rembulan
ditemani kerdipan kejora
menghiasi dada langit..

Putaran waktu terus bergerak,
sesekali dibiaskan oleh percikan air dari dada langit
ada waktunya sang pelangi muncul menambah indahnya alam
atau tiba-tiba panas membahang kala mentari amarah
bumipun merekah, rerumputpun layu kekeringan
kemudian, pada waktu lain
bumi pula menangis dek deras air mengalir
membawa bersama puing-puing gelombang,
ganas menghempas persada alam
sesekali ribut salji melanda
biarpun memutih bersih
namun, mencemaskan sekalian makhluk..

Namun bersyukurlah,
kita masih bernafas 
menyedut segar rongga udara
menikmati hembusan bayu
nyaman suasana
ditemani warna-warni alam
tenang dalam pelukan fatamorgana...


~Liza Isma~
….terkadang leka dan kagum menikmati indahnya alam semesta ciptaan Illahi!!

7 Oktober 2012/12:30malam
Desa Pandan, KL.

Tuesday, 2 October 2012

Indahnya rerama bebas berterbangan, menghirup manisnya madu.....



RERAMA 


Telah lamaku diuji,
telah lamaku menganyam sabar,
telah kuterima ulat kepompong,
hampir diri tersadung  luka
hampir kering telaga air mata
hampir diri rebah tak bermaya
terkulai dalam menungan tak bertepi
dek rasa hampa kecewa…

Namun akhirnya,
kubisa tersenyum
melihat rerama indah berwarni,
menjelma dalam genggaman,
kudakap nikmat penuh syukur
rasa bahagia tak terkata,
gambaran rasa tak terluah,
hanya ukiran senyum melebar
mengungkap rasa bahagia,
pun begitu,
ada ralat tercerna dalam sanubari
serasa lewat untuk kutebarkan bakti suci…

Ah, indahnya warna-warni rerama!!
sering mengekoriku hingga kini..
biarpun telahku lepas bebas rerama itu terbang,
namun,  sesekali menjengah di telapak tangan,
tarian cintanya hanyalah aku,
maka dia tak bisa terbang jauh,
hanya berlegar dalam relung hatiku sendiri,
biarpun berkali-kali kucuba usirnya jauh,
namun, rerama itu tetap berpatah balik
seperti terbias rasa sayang
untuk meninggalkan relung hatiku ini...
lalu kubiarkan saja rerama itu hinggap di bahu,
kerana kuamat bahagia kini
bertemankan rerama indah
hadiah sebuah cekal
anugerah terindah Illahi…


~Liza Isma~
…..masih leka menatap indahnya rerama, bagaikan sayang untuk melepaskannya pergi!!!...

3 Oktober 2012/3.15pagi
Desa Pandan, KL.