Wednesday, 6 June 2012

Leka bergurindam, asyik bertingkah kata tetapi JIWA semakin LAYU

GURINDAM JIWA LAYU

Hati tersayat sembilu hanyalah lagu,
lagu guridam dah tak merdu;
sayu hati pabila mengenangimu,
dalam tak sedar hiburan menjadi candu;
lebih mujarab daripada syabu.

Kiri kanan penuh liku,
hendak diredah jalannya kelabu;
tertutup mata dek tak seregu,
haluan tersasar terlanggar batu;
batu tajam serampangnya satu,

Jati diri semakin layu,
mudahlah jarum menikam kalbu;
tak tahu apa nasib generasiku,
kemelut pak tua mengharu-biru;
bangsaku tak lagi berpadu,
jerat mengena dalam kelambu;
awan hitam belum mahu berlalu,
tertutup mata di sebalik hati nan kelabu….

Ilham rasa WARIS PUJANGGA;
za_tintamaya/
SOGO, KL
30 September 2011/5.30 petang

Syahdu Dalam Pengertian : Realiti Di Sebalik Sebuah Cerita : "SEPI ANGIN KE KOTA LONDON"


Entah mengapa hati diulit sayu dan pilu. Terasa syahdu malam ini apabila mengenangi masa-masa silam yang ditinggalkan. Semalam yang berlalu telah menjadi riwayat. Riwayat yang akan tercatit sebagai sejarah. Namun dari sejarah itulah, kita menjadi dewasa menongkah arus. Dan dari sejarahlah, kita menimba pengalaman yang merupakan guru yang paling erat mengajar kita mendepani cabaran.

Malam ini, aku menonton telefilem “Sepi Angin Ke Kota London” di TV1. Sayu, sedih, pilu, ngilu mencengkam rasa. Biarpun telah beberapa kali aku menonton cerita itu, namun perasaan itu tetap sama. Terasa begitu syahdu dan pilu..... Aku menangis tersedu-sedu mengiringi tangisan watak-wataknya. Renkung merasa sakit dek menahan kesedihan. Betapa dalam maksud yang tersirat dalam cerita tersebut. Dan bagi setiap orang yang menonton cerita itu, pasti membawa pengertian yang berbeza.

Tak tertahan melihat sebuah perjuangan yang diiringi pengorbanan dan keikhlasan. Seorang anak yang luhur budi. Persahabatan yang erat dan tulus. Seorang anak remaja yang menghormati orang tua. Dan tentunya seorang murid yang sangat mengkagumi dan menghormati gurunya.

Sebenarnya kisah Akhabar, watak utama dalam cerita itu hanyalah sebuah jambatan yang menghubungkan riwayat sendiri. Menonton cerita yang sarat dengan kasih sayang seorang anak terhadap ibu bapanya, seorang ayah dan ibu yang sangat mengasihi anaknya membawa aku meneroka masa silam yang berlalu. Ya, masa silam itulah yang dipanggil sejarah, yang mengajar setiap insan menjadi dewasa dengan caranya yang tersendiri.

Ah, dalam sedar ataupun tidak sejarah telah mengajar diri agar bersemangat menongkah cabaran hidup. Kerana menerusi sebuah kisah sejarah membangkitkan semangat untuk berbakti, menyumbang jasa dengan cara yang tersendiri. Aku ingin berbakti pada keluarga yang disayangi dengan penuh tulus, serta pada agama, bangsa dan negara yang tercinta. Pastinya bakti kudus yang tak terhingga ini ingin berkongsi ilmu dengan anak-anak didik.

Masa-masa silam yang pedih dalam perjuangan menempatkan diri di persada pendidikan, akhirnya telah membuahkan hasil. Lalu, tiada apa lagi yang diharapkan selain menunaikan amanah dan tanggungjawab yang menjadi impian sekian lama. Kesyukuran yang dipanjatkan tak terhingga rasa kerana Allah merestui harapan yang terpendam. Biarpun terlambat tetapi belum terlewat.

Kini, perjuangan semakin berkembang dalam menghayati sebuah kenikmatan yang penuh kemakmuran. Mengambil semangat mereka yang terdahulu, maka aku memulai langkah perjuangan dengan caraku yang tersendiri. Biarpun ia kelihatan tidak menyumbangkan apa-apa, tetapi padaku semoga dengan secebis rasa tanggungjawab untuk melihat keamanan dan kemakmuran ini, agar terus dinikmati bersama selama-lamanya.

Menerusi pembelajaran formal atau tidak formal telah banyak ilmu dikutip. Malahan, aku juga belajar daripada peniruan. Ya, langkah perjuangan ini adalah kerana aku meniru perjuangan ASAS’50. Semangat juang mereka yang ahli, menjadikan aku ingin berjuang seperti mereka, dalam melayari alam maya tanpa sempadan. Maka, dengan ilmu dan bakat yang ada, aku berkongsi rasa dengan mereka yang sama-sama ingin berjuang sepertiku. Dan menerusi tintamaya aku melakarkan seribu detikan rasa bersandarkan tiang seri sebuah riwayat. Kerana tanpa riwayat, kita takkan dapat belajar sesuatu untuk menimba ilmu dan pengetahuan.

Lantas, dari rentetan cerita “Sepi Angin ke Kota London” itu telah menerbitkan sebuah pemikiran kritis. Aku mula terfikir, itulah rencah kehidupan masa mula awal merdeka. Pengisian sebuah kemerdekaan dimulakan dengan pendidikan, demi membina sebuah tamadun bangsa dan negara. Betapa sukar mengisi masa-masa terdahulu. Penuh onak dan ranjau, namun mereka mampu merempuhnya demi sebuah kehidupan yang kita nikmati hari ini.