Friday, 16 September 2011

Kembara Alam Mencari Makna

(sinambungan puisi KIAMBANG BELUM BERTAUT)

Mengembara di bumi nan luas,
mencari prsoalan dalam sandiwara,
bertemu jawapan dari sudut berbeza,
kesahihan mesti berbukti,
tulisan lebih tajam daripada mata pedang...boleh membunuh...
sudut pandangan berbeza,
maka berdegar-degar menegak benang basah
namun,  tak juga tegak-tegak, sengaja mencari helah
maka, hidup jadi berpuak-puak, 
bersuku-suku segala waris, 
bergaduh bercerai-berai kerana tak sehaluan..
DAN YANG PASTI MUSUH ISLAM, bertepuk tangan
mengolah adu domba semakin GAH,
ibarat api dalam sekam...tak siapa pun sedar...
lalu...KAUMKU sanggup meratah daging saudara sendiri
demi servival hidup berpolitik...

MAKA, AKU YANG MERASA TEMPIASNYA 
hanya mampu melihat, kerana bukti ada di hadapan mata:
“Sejarah warisan MADRASAH tinggalan armahum tok ayah,
pusaka untuk cucu cicitnya bernaung dalam satu bumbung,
bermusyawarah dalam segala hal,
eratnya kekeluargaan, utuhnya silatturahim ketika itu...
NAMUN, telah terkubur,
bukan di tangan YAHUDI..tetapi bangsa seagama sendiri...”
adakah ia tak mustahil hangus membakar SEKAM itu???
maka, berjayalah bangsaku diadu domba,
keutuhan kekeluargaan pun menjadi longgar
sejak detik itu,
MADRASAH itu sepi tak bernyawa lagi...

Dari sejarah warisan yang kecil itu..
tak mustahil keruntuhan yang lebih besar...
pertelingkahan, perdebatan, semakin rancak
musuh pun semakin kuat kerana bantuan ada di mana-mana
dan mereka yang menjadi petualang adalah bangsaku sendiri!
sanggup menjatuhkan sesama sendiri dengan pelbagai fatwa pujangga
pelbagai jalan cerita yang menarik... namun, tiada yang mahu berfikir dengan bijaksana..
yang ada hanyalah fatwa pujangga dengan pelbagai versi..
berbalas tulisan, berdebat di pelbagai sumber..
menangkis segala dakyah, menghebah segala bukti
cuba memberi jawapan di sebalik segala tohmah...
maka, kesalahan pun diletakkan di bahu satu pihak..
kerana pihak yang lain menganggap dia adalah benar dan maksum..
maka, pelbagai andaian dibuat,
kesalahan itu puncanya satu...
HALUAN BERBEZA…..
MAKA, yang lain lebih kafir daripada orang kafir sendiri...
WALAUPUN SEDAR itulah musuh ISLAM sebenar..
lalu...bagaimana lagi????


Resah Hatiku,
9.00 pagi/14 Mac 2011

Friday, 9 September 2011

Tanah yang dulunya gersang, kini menjadi lembah nan subur.....


TANAH INI, DULUNYA GERSANG

Kemarau bertahun, aliran sungai lesu,
Tanah leluhur ini gersang…
berjuta doa dihimpun dengan penuh pengharapan…
mengharap lembah ini kembali subur,
tersohor seantero jagat raya…

kerana, sejak itu….tahun 1511
ranap sebuah Negara Kota,
maka, tanah leluhur inipun merekah
membiaskan sejuta kerakusan, ganas mencengkam nurani,
dan air mata, keringat hatta darah,
mengalir dalam sungai harapan..
biarpun kegersangan mengulit kehidupan
dalam kekalutan mencari makna kebebasan
tanah gersang ini, perlu disaliri air dari lembah perjuangan….

maka, bangkit sang rajuna dari lena yang panjang,
kerana, mimpi semalam…menyuntik sejuta harapan…
lalu, dikerah segala keringat, darah dan air mata…
lahirlah berjuta bintang gemerlapan,
biarpun kerdipan itu, cahayanya samar-samar
mampu menerangi ruang-ruang nan suram kala itu,
srikandi bangkit meniup semangat…
sang rajuna terus berjuang
biarpun terpaksa mengalirkan sungai darah,
keramatnya tangan yang menghayun buaian
dengan iringan kalimah doa nan kudus….
cahaya itu semakin terang menyuluh maya….

malam itu, detik keramat….31 Ogos 1957,
laungan kesyukuran bergema, gegak gempita membelah bumi
akhirnya, Negara Kota terbina kembali
tanah gersang ini telah mengalir sungai harapan….
dan hari ini, tanah yang dulunya gersang,
subur menjadi lembah menghijau
sungai harapan terus mengalir meredah maya,
dan,  akar-akar berserakan berebutkan nikmatnya…
pun begitu, rahmat dikecapi bersama
kerelaan dalam keterpaksaan
demi kelangsungan harga sebuah perjuangan…

pun begitu, janji termeterai…
hak yang beralah, tetap terpelihara,
dijaga dalam naungan 152 bersama 153, di bawah bumbung perlembagaan…
Agama Allah anutan rasmi, Bahasa Melayu sebagai lingua franca,
riwayat menjadi saksi, titah raja titah berdaulat,
tanah leluhur ini mesti dijaga, agar kedaulatan ini kekal selamanya…..
maka, raja bertitah;
“Kami, Raja-raja Melayu bersetuju memperturunkan kuasa
bagi menjamin serta melindungi hak dan keistimewaan
Orang-orang Melayu & Pribumi, maka kami peruntukkan
separuh daripada hasil bumi ini adalah hak Melayu & Pribumi
(termasuk Sabah & Sarawak selepas itu), dan kamu rebutlah separuh lagi untuk dikongsi bersama semua bangsa secara sama rata,
Dan, kami tubuhkan pasukan Polis dan Askar Melayu Diraja untuk menjaga keselamatan dan menjamin keamanan negara
Dan, kami angkat Agama Islam sebagai agama persekutuan, dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Negara Persekutuan Tanah Melayu…”

Akhirnya, dengan penuh berkat dan rahmatNya
rakyat jelata hidup aman bahagia di tanah bertuah ini, 
dalam paduan janji yang termeterai..
mengecapi berjuta nikmat Illahi…penuh syukur…

didedakasi untuk para pejuang, lahirnya bumi Malaysia ini…
ikhlas,
Za_Tintamaya

Cerita Rakyat Moden

Ceritera Warisan Pak Kadok
Suasana redup di bawah rimbunan pepohon beringin pada senja itu, telah menjadi saksi suatu lakaran kehidupan manusia dalam mencari kemasyhuran dunia. Alam maya nan permai pada senja hari itu, telah menghimpunkan ribuan masyarakat tanah leluhur itu berkumpul menyaksikan suatu pertandingan rakyat berupa pertaruhan merebut piala kekuasaan.
Masing-masing ghairah. Mereka yang berpengaruh sahaja diangkat menyertai pertandingan itu. Hari ini, satu pihak pasti menang. Selama ini, mereka berhempas pulas menyebarkan kehebatan diri mengumpul penyokong. Dengan menggunakan segala kepakaran mereka berjuang bermatia-matian untuk menewaskan pihak lawan. Salah seorang mesti menang. Ya, mesti menang. Jaguh pasti akan disanjung. Itulah detikan hati masing-masing.
Tiba-tiba, suasana hinggar-binggar. Kokokan ayam jantan tidak lagi kedengaran. Dia terlonjak-lonjak kegembiraan.
“Aku  menang!…aku menang!…yahooo…aku hebat! Akulah wira!….Akhirnya, tanah leluhur ini milik mutlak aku!” Maka, riuh-rendah suara para penyokong disertai gelak tawa dan diiringi sorak-sorai sekeliling, menjadikan dia lupa diri.
Dengan penuh cinta kasih, dia berlari pulang ke rumahnya nun di perbukitan yang menghijau. Ingin dikhabarkan kepada isterinya bahawa dia telah memenangi pertandingan itu. Dan ingin diwar-warkan kepada keturunannya, dia seorang jaguh bakal menguasai tanah leluhur itu.
Leka seketika. Dia pun merancang di sudut mindanya, “Akan kubina empayar masa depan buat generasiku di tanah berdaulat ini. Aku akan membina mahligai bertatahkan emas di puncak menara. Dan yang pasti, aku ingin majukan tanah leluhur ini sebagai bekalan untuk generasi yang akan kutinggalkan suatu hari nanti.”
Namun, sebelum sempat dia sampai di tanah leluhur miliknya, tiba-tiba dia tersedar dan terfikirkan sesuatu. Ya, sesuatu yang pasti akan meleburkan segala impian yang baru tertanam di mindanya seketika tadi.

“Ya, Allah… apakah musibah ini kerana kelalaianku lantaran menurut kata nafsu? Ampunilah aku kerana melawan kalamMu. Jika apa yang telah kulakukan ini, adalah balasan kealpaanku kerana tamak haloba merebut kekuasaan dunia, maka kupohon Kau lindungilah generasiku agar tidak menggadaikan tanah air yang masih kutinggalkan itu. Kumohon padaMu, semoga tingkahku ini menjadi iktibar dan pedoman buat generasiku dalam membina kemayshuran dunia.” Dia  bermonolog menginsafi keterlanjuran diri.
Lalu senja itu, menjadi saksi suatu peristiwa tercalitnya maruah diri jatuh menyembah bumi kerana kealpaan merebut kemenangan dalam sebuah pertandingan. Kerana baginya, yang pertama adalah wira. Akalnya tewas menyaingi kewarasan. Kerana, sangkanya dengan menjadi juara akan dapat dihebohkan kepada dunia, dialah insan yang hebat. Namun akhirnya, dia tersungkur dan tidak mampu bangkit lagi.
Dan yang pasti, dia tahu menangis air mata darah sekalipun, dia tak mungkin akan dapat menebus kembali tanah tumpah darahnya yang telah digadaikan sebagai pertaruhan. Lalu, dengan lemah longlai dia berjalan mengheret langkahnya. Terasa batu-batan di perbukitan tanah leluhur miliknya itu, menghempap dan menimbus batang tubuhnya.
******
Sesampai di rumah, dia melepaskan lelah di tangga. Kemudian, dia mengambil gayung ingin mencedok air dalam tempayan di kaki tangga untuk membasuh kakinya. Namun, sekali lagi dia diheret kehampaan kerana air tempayan itu telah kehabisan. Dia terlupa. Sebelum berangkat pergi, dia telah mencurahkan air tempayan itu. Kerana, sangkanya apabila dia memenangi pertandingan itu, dia akan dapat membina saluran air dari sungai terus ke rumahnya.
Kesedaran muncul di akhir waktu. Dia tahu, dia bukan sahaja tidak larat untuk mengangkut air dari sungai, tetapi lebih daripada itu, dia telah memusnahkan impian keluarga dan generasinya. Akhirnya, dia rebah ke bumi.
Nun, dari atas rumah isterinya melihat dengan wajah sayu. Lalu, pantas berlari mendapatkan suaminya yang tiba-tiba rebah itu. Dia memangku kepala Pak Kadok di ribaannya.
Dan dalam nafas yang tertahan-tahan, dia berpesan kepada isterinya, “Dik Sireh, ajalku telah sampai ke penghujung dunia fana ini. Tetapi, sebelum aku menutup mata dengarkan pesananku ini. Dan aku mohon kau sampaikanlah kepada waris-waris kita, agar jangan diulangi tingkahku ini yang telah merugikan warisan keturunan kita kerana kelalaianku itu.”
Pak Kadok berhenti seketika, mencari ruang fikir yang selesa. Dengan payah dia menarik nafas mencari kekuatan diri untuk dikhabarkan kepada isterinya kisah tragis yang telah dilakarkan untuk mereka pada hari itu.
“Abang Kadok, tenanglah. Jangan difikirkan sangat. Yang pasti abang akan kembali sihat. Saya akan menjaga abang dan menguruskan tanah laman kita ini, sehingga abang kembali cergas.” Begitulah kasihnya seorang isteri dengan lembut bicara memberi kata-kata semangat, biarpun dia tahu kemungkinan perpisahan mereka akan tiba jua.
Dan mengalirlah air mata kesayuan mendengarkan kata-kata peneman hidupnya itu. Dalam renungan pilu mengenangi tingkahnya itu, Pak Kadok tahu kesedarannya itu telah telah terlambat. Dia meratap hiba kerana telah mengkhianati kepercayaan dan mematahkan dahan tempat bergantung generasinya terhadap apa yang dimilikinya itu.
Dengan nafas yang tersisa, digagahkan kudratnya untuk terus berkata-kata, “Isteriku sayang, jagalah keturunan kita baik-baik. Jagalah para-para tempat perteduhan dan akar berpaut sesulur sireh. Jangan dibiarkan susur kadok berjaya berada di atas junjung para-paramu. Jika itu terjadi, dedaun sireh pasti layu ditutupi rimbunan dedaun kadok itu. Kerana…pohon dedalu secara halus, dapat melumpuhkan pepohon asal….ambillah iktibarnya.”
Pak Kadok terus berbicara, “Dan, apabila selamat semuanya urusanku nanti, berkemaslah dan bawalah generasi kita untuk tinggal di tanah kita di baruh. Tanah laman ini telah tergadai kerana kelalaianku dalam merebut kemenangan pertandingan tadi. Kerana… sangkaku dengan memperjudi nasib, kita akan dapat meluaskan tanah air milik kita ini. Namun, percaturan itu adalah satu kesilapan yang  telah meranapkan maruah bangsa kita.”
Pak Kadok berhenti menarik nafas. “Wahai anak-anak pewarisku, suburkanlah tanah di baruh itu. Usahakanlah dengan semangat jitu, dan janganlah berdengki khianat sesama keturunan kita. Bersapakatlah dan bersatu hati. Bermusyawarahlah apabila ingin membuat sesuatu keputusan agar tanah warisan yang kutinggalkan itu tidak tergadai seperti apa yang telah kulakukan pada hari ini.”
Dalam kepayahan menahan kesakitan Pak Kadok meneruskan amanat terakhirnya itu, “Ingatlah generasiku, sikap tamak haloba, dengki khianat dan menjunjung kemasyhuran dunia, akan menjadikan kita alpa untuk mensyukuri nikmat yang telah kita kecapi selama ini. Lalu, seperti apa yang telah kulakukan itu, tanah laman ini menjadi milik orang. Wahai pewarisku, jadikanlah tingkahku itu sebagai teladan. Sampaikanlah pesanan ku ini kepada keturunanku nanti. Jangan ada mengikut jejakku dan bertindak di luar kewarasan akal. Serta lupa asal-usul keturunan, hanya kerana mahu diri berada di kedudukkan teratas yang akan disanjungi  sebagai juara di hati mereka yang lain.”
Dengan teresak-esak dan suara yang semakin perlahan Pak Kadok terus berpesan, “Generasiku, jika tanah yang kuwariskan itupun tergadai, maka merempatlah kalian. Tiada lagi tanah lain untuk kalian huni. Dan untuk mendapat kembali, berjuang berjuta tahunpun masih belum mampu untuk menebusnya semula, kerana apabila terlepas ke tangan orang, pastinya dia tidak akan menawarnya kembali.”
Dan senja itu, menyaksikan tangisan pilu mengiringi berakhirnya sebuah kisah tragis yang diwariskan oleh Pak Kadok kepada generasinya. Pak Kadok pergi dengan sejuta kekesalan dan penuh harapan agar generasinya tidak mengulangi sejarah hitam yang merobek maruahnya di maya pada.
Pun begitu, ceriteranya itu terkubur ditelan masa. Tanah di baruh yang diwariskan itu, telahpun kukuh dan tegak subur memayungi alam anugerah Illahi zaman-berzaman. Persepakatan dan semangat kental selepas maruah tergadai, generasinya telah berjaya bangkit memajukan tanah warisan itu. Akhirnya, ia  semakin dikenali dan disegani seantero dunia.
********
Termenung di jendela, dalam suasana senja yang kelam hari ini, aku merasa sayu yang diiringi suatu perasaan takut, bimbang, amarah dan seribu rasa gundah-gulana apabila menghayati kembali ceritera warisan Pak Kadok ini.
Aku gelisah melihat realiti generasiku yang hidup selesa pada hari ini semakin alpa. Mereka sengaja memadamkan tinta yang telah tercatat, bahawa kerana kegigihan para pejuang kemerdekaanlah dapat mengembalikan maruah bangsanya. Maka, tanah air warisan ini telah merdeka. Kini, semakin maju dan terus mara mendaki puncak dunia.
Namun, kealpaan yang disengajakan terhadap tinta sejarah bahawa tanah air yang diwarisi ini adalah dari jerih-perih dan gugurnya titisan keringat, darah dan air mata para pejuang dalam mendapatkan kembali hak di bumi bertuah ini. Lalu, tingkah mereka seolah tidak menghargai dan mensyukuri nikmat pemberian Illahi.
Kekuatan oleh satu pihak yang bertindak menghalalkan cara telah membuktikan pesanan Pak Kadok seperti “mencurahkan air di daun keladi”. Maka, kerakusan menguasai tanah warisan ini, memungkinkan kemajuan ini tidak dapat dikongsi dan dirasai secara adil. Pastinya, yang tertewas dan lemah akan tertindas dan teraniaya.
********
Merenungi alam maya yang semakin kelam dek terbenamnya matahari di ufuk barat, maka terlintas di mindaku, “Apakah  nasib bangsaku hari ini akan mengulangi cerita Hikayat Pak Kadok itu? Adakah semalang nasib Pak Lebai yang terlepas nasi kenduri kerana berada di persimpangan dilema? Atau biarkan Si Luncai terjun dengan labunya? Tetapi….jika labu Si Luncai pecah, dapatkah berenang ke tepian, atau akan hanyut di bawa arus tsunami politik bangsa?”
Ah, Pak Lebai!... malang nasibmu hanyalah kempunan tidak dapat menikmati nasib kenduri. Pak Lebai, silapmu sendiri yang tamak, kerana membiarkan diri berada di persimpangan dilema. Tidak tahu memilih arah tujuan. Adakah hendak merasai nasi kenduri di rumah di hilir atau menentang arus ke hulu dahulu? Akhirnya, Pak Lebai meratib di tangga rumah.
Wahai Pak Lebai, janganlah diulangi kisah malang seperti itu! Kerana, jika nasi sudah menjadi bubur, ia masih lagi boleh dimakan, dan Pak Lebai masih lagi dapat bertahlil kesyukuran. Tetapi jika nasi sudah basi, apakah lagi yang dapat Pak Lebai lakukan?
Tetapi hari ini, nasi kenduri bukan lagi menjadi prioriti Pak Lebai. Kemasyhuran dunia untuk meneruskan kelangsungan hidup menjadikan Pak Lebai semakin di persimpangan. Ke hilir ditafsirkan tidak Islamik, tetapi ke hulu mampukah syiar Islam dapat terus tegak berdiri di bumi bertuah ini? Maka, kisah Qabil dan Habil yang berbunuhan sesama sendiri seperti ingin diwarisi oleh mereka yang taksub pada keindahan dan kemasyhuran dunia. Dan jalan ke syurga menjadi taruhan janji manis meraih kemenangan dunia.
Sejak itu, kalam Tuhan dijadikan sandaran untuk menegakkan hak dan pendirian, demi menjatuhkan yang tidak sehaluan. Dan rakyat marhain semakin keliru membuat tafsiran dalam meniti jalan lurus tetapi bersimpang-siur. Yang pasti, tsunami boleh melanda tanpa dapat dijangka. Sekali air bah, sekali pantai berubah. Tetapi sekali tersilap membuat perhitungan, hanya masa yang menentukan bentuk perubahan membina harapan. Dan nasib generasi terkemudian, tiada siapa yang dapat menjangkakannya.
Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Dan badai tsunami akan meranapkan pepasir di pantai. Sukarnya mengutip berlian di dalam serpihan kaca. Tersasar, luka berdarah…hatipun menangis.
Adakah kerusi empuk di Putrajaya dapat Pak Lebai duduki? Atau akan terus bernasib malang,  ibarat “yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran.”
Mampukah nanti, Pak Lebai mengutip kembali keciciran yang jatuh berserakan dek keegoan dan kealpaan ketinggian ilmu di dada? Maka, mendabik dada dengan gahnya berkata, “Jalan akulah yang benar, dan orang lain tiada jalan lurus ke syurga. Hipokrasi, korupsi, jahil tukil. Perlembagaan dunia mesti diubah.”
Aku pun merayapi ruang sepi ini untuk mentafsir kisah yang terpalit seantero dunia, “Kejatuhan sebuah empayar Keagungan Melaka. Puncanya? Dan, Saadam Hussin telah dimamah bumi, tetapi pengkhianatan itu telah membuka jalan neraka dunia kepada mereka sendiri. Tenangkah mereka beribadat dalam kekalutan acuan senjata di bawah naungan kafirun??….seperti Si Kitol dan Raja Mandeliar yang hanya mendapat seuncang emas…” Berbaloikah?  
*******
Walaupun buku sejarah dibakar atau tenggelam dibawa arus tsunami, tetapi riwayatnya tetap terpahat kukuh di hati. Riwayat yang tersirat tiada siapa yang peduli. Batu-batan Kota A’Famosa adalah terbina daripada kerakusan penghapusan etnik yang memusnahkan rumah-rumah dan surau, hatta nisan di kuburan pun dicungkil. Dan, mereka berjaya kekalkan sebahagian warisan di bumi bersejarah itu.
“Akhirnya, ruang manakah yang menjadi landasan pilihan kita??... Pertelagahan sesama sendiri, pasti ada yang menangguk di air keruh. Jika mendapat ikan besar yang dapat diratah bersama, maka beruntunglah semua pihak. Tetapi, jika tulang pun tak tersisa untuk yang tertewas…?? Tunggulah doa Pak Lebai dimakbulkan, agar dikembalikan syiar di bumi berdaulat ini.” Aku bermonolog, menghakimi sendiri.
“Adakah???...jikapun bernasib malang dalam percaturan itu, kita mengharapkan menjadi seperti kisah negeri Pasir Bedengun yang dapat diselamatkan oleh Laksamana Do Re Mi…dan, rakyat jelata bertempiaran mencari kehidupan… kerana dinaungi Kerajaan Di Bawah Pokok. Maka, payung kuning pun hilang warnanya seperti lenyapnya nama Temasik kerana payung kuning telah hangus dibakar. Agamapun bertebaran dalam beribu fahaman, dan yang berkuasalah yang kuat. Riwayat Natrah adalah saksi segalanya. Maka, amanlah Negara Minyak dinaungi payung kuning yang bersinar terang memayungi rakyat jelata dengan rahmatNya.” Yang pasti, detikan hatiku akan terus berbisik mencari himpunan tersirat di sebalik tinggalan warisan yang tercatat dalam tinta sejarah.
Karyaku 1,
(Sebuah kisah cerita rakyat moden)

Oleh : za_TINTAMAYAPADA
@Hak cipta terpelihara’ 2010.
za_tintamayapada’10
Karyaku 1 : Ceritera Warisan Pak Kadok.
(Sebuah kisah cerita rakyat moden)

20 September, 2010
(6.00ptg-1.00pg)