TANAH INI, DULUNYA GERSANG
Kemarau bertahun, aliran sungai lesu,
Tanah leluhur ini gersang…
berjuta doa dihimpun dengan penuh pengharapan…
mengharap lembah ini kembali subur,
tersohor seantero jagat raya…
kerana, sejak itu….tahun 1511
ranap sebuah Negara Kota,
maka, tanah leluhur inipun merekah
membiaskan sejuta kerakusan, ganas mencengkam nurani,
dan air mata, keringat hatta darah,
mengalir dalam sungai harapan..
biarpun kegersangan mengulit kehidupan
dalam kekalutan mencari makna kebebasan
tanah gersang ini, perlu disaliri air dari lembah perjuangan….
maka, bangkit sang rajuna dari lena yang panjang,
kerana, mimpi semalam…menyuntik sejuta harapan…
lalu, dikerah segala keringat, darah dan air mata…
lahirlah berjuta bintang gemerlapan,
biarpun kerdipan itu, cahayanya samar-samar
mampu menerangi ruang-ruang nan suram kala itu,
srikandi bangkit meniup semangat…
sang rajuna terus berjuang
biarpun terpaksa mengalirkan sungai darah,
keramatnya tangan yang menghayun buaian
dengan iringan kalimah doa nan kudus….
cahaya itu semakin terang menyuluh maya….
malam itu, detik keramat….31 Ogos 1957,
laungan kesyukuran bergema, gegak gempita membelah bumi
akhirnya, Negara Kota terbina kembali
tanah gersang ini telah mengalir sungai harapan….
dan hari ini, tanah yang dulunya gersang,
subur menjadi lembah menghijau
sungai harapan terus mengalir meredah maya,
dan, akar-akar berserakan berebutkan nikmatnya…
pun begitu, rahmat dikecapi bersama
kerelaan dalam keterpaksaan
demi kelangsungan harga sebuah perjuangan…
pun begitu, janji termeterai…
hak yang beralah, tetap terpelihara,
dijaga dalam naungan 152 bersama 153, di bawah bumbung perlembagaan…
Agama Allah anutan rasmi, Bahasa Melayu sebagai lingua franca,
riwayat menjadi saksi, titah raja titah berdaulat,
tanah leluhur ini mesti dijaga, agar kedaulatan ini kekal selamanya…..
maka, raja bertitah;
“Kami, Raja-raja Melayu bersetuju memperturunkan kuasa
bagi menjamin serta melindungi hak dan keistimewaan
Orang-orang Melayu & Pribumi, maka kami peruntukkan
separuh daripada hasil bumi ini adalah hak Melayu & Pribumi
(termasuk Sabah & Sarawak selepas itu), dan kamu rebutlah separuh lagi untuk dikongsi bersama semua bangsa secara sama rata,
Dan, kami tubuhkan pasukan Polis dan Askar Melayu Diraja untuk menjaga keselamatan dan menjamin keamanan negara
Dan, kami angkat Agama Islam sebagai agama persekutuan, dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Negara Persekutuan Tanah Melayu…”
Akhirnya, dengan penuh berkat dan rahmatNya
rakyat jelata hidup aman bahagia di tanah bertuah ini,
dalam paduan janji yang termeterai..
mengecapi berjuta nikmat Illahi…penuh syukur…
didedakasi untuk para pejuang, lahirnya bumi Malaysia ini…
ikhlas,
Za_Tintamaya
No comments:
Post a Comment