Entah
mengapa hati diulit sayu dan pilu. Terasa syahdu malam ini apabila mengenangi
masa-masa silam yang ditinggalkan. Semalam yang berlalu telah menjadi riwayat.
Riwayat yang akan tercatit sebagai sejarah. Namun dari sejarah itulah, kita
menjadi dewasa menongkah arus. Dan dari sejarahlah, kita menimba pengalaman yang
merupakan guru yang paling erat mengajar kita mendepani cabaran.
Malam ini, aku menonton telefilem “Sepi Angin Ke
Kota London” di TV1. Sayu, sedih, pilu, ngilu mencengkam rasa. Biarpun telah
beberapa kali aku menonton cerita itu, namun perasaan itu tetap sama. Terasa begitu syahdu dan pilu..... Aku menangis
tersedu-sedu mengiringi tangisan watak-wataknya. Renkung merasa sakit dek menahan
kesedihan. Betapa dalam maksud yang tersirat dalam cerita tersebut. Dan bagi setiap
orang yang menonton cerita itu, pasti membawa pengertian yang berbeza.
Tak tertahan melihat sebuah perjuangan yang
diiringi pengorbanan dan keikhlasan. Seorang anak yang luhur budi. Persahabatan
yang erat dan tulus. Seorang anak remaja yang menghormati orang tua. Dan
tentunya seorang murid yang sangat mengkagumi dan menghormati gurunya.
Sebenarnya kisah Akhabar, watak utama dalam cerita
itu hanyalah sebuah jambatan yang menghubungkan riwayat sendiri. Menonton
cerita yang sarat dengan kasih sayang seorang anak terhadap ibu bapanya, seorang
ayah dan ibu yang sangat mengasihi anaknya membawa aku meneroka masa silam yang
berlalu. Ya, masa silam itulah yang dipanggil sejarah, yang mengajar setiap
insan menjadi dewasa dengan caranya yang tersendiri.
Ah, dalam sedar ataupun tidak sejarah telah mengajar
diri agar bersemangat menongkah cabaran hidup. Kerana menerusi sebuah kisah
sejarah membangkitkan semangat untuk berbakti, menyumbang jasa dengan cara yang
tersendiri. Aku ingin berbakti pada keluarga yang disayangi dengan penuh tulus,
serta pada agama, bangsa dan negara yang tercinta. Pastinya bakti kudus yang
tak terhingga ini ingin berkongsi ilmu dengan anak-anak didik.
Masa-masa silam yang pedih dalam perjuangan
menempatkan diri di persada pendidikan, akhirnya telah membuahkan hasil. Lalu,
tiada apa lagi yang diharapkan selain menunaikan amanah dan tanggungjawab yang
menjadi impian sekian lama. Kesyukuran yang dipanjatkan tak terhingga rasa
kerana Allah merestui harapan yang terpendam. Biarpun terlambat tetapi belum
terlewat.
Kini, perjuangan semakin berkembang dalam
menghayati sebuah kenikmatan yang penuh kemakmuran. Mengambil semangat mereka
yang terdahulu, maka aku memulai langkah perjuangan dengan caraku yang
tersendiri. Biarpun ia kelihatan tidak menyumbangkan apa-apa, tetapi padaku
semoga dengan secebis rasa tanggungjawab untuk melihat keamanan dan kemakmuran ini,
agar terus dinikmati bersama selama-lamanya.
Menerusi pembelajaran formal atau tidak formal
telah banyak ilmu dikutip. Malahan, aku juga belajar daripada peniruan. Ya,
langkah perjuangan ini adalah kerana aku meniru perjuangan ASAS’50. Semangat
juang mereka yang ahli, menjadikan aku ingin berjuang seperti mereka, dalam
melayari alam maya tanpa sempadan. Maka, dengan ilmu dan bakat yang ada, aku
berkongsi rasa dengan mereka yang sama-sama ingin berjuang sepertiku. Dan
menerusi tintamaya aku melakarkan seribu detikan rasa bersandarkan tiang seri
sebuah riwayat. Kerana tanpa riwayat, kita takkan dapat belajar sesuatu untuk
menimba ilmu dan pengetahuan.
Lantas, dari rentetan cerita “Sepi Angin ke Kota
London” itu telah menerbitkan sebuah pemikiran kritis. Aku mula terfikir, itulah
rencah kehidupan masa mula awal merdeka. Pengisian sebuah kemerdekaan dimulakan
dengan pendidikan, demi membina sebuah tamadun bangsa dan negara. Betapa sukar
mengisi masa-masa terdahulu. Penuh onak dan ranjau, namun mereka mampu
merempuhnya demi sebuah kehidupan yang kita nikmati hari ini.
No comments:
Post a Comment