Monday, 13 August 2012

PEDIH hanya mampu MELIHAT....

Kisah Sendu di Negaraku, Kiblat Negara Orang
(di sebalik tabir sebuah perjanjian dari air mata peribumi)

Tika mendaratnya jejak langkahku di daerah ini…
Mata merenung jauh, sayu hati memendam rasa…
Sejarah telah tercatat begitu, jangan menoleh ke belakang…
Tapi mampukah aku?
Kala jiwa diamuk pelbagai rasa…..
Tenggelam dalam lautan bara,
hangatnya membakar jiwa….
Hanyut dibawa arus resah
Sayup di kejauhan melihat tebing,
tapi tak terjangkau biarpun ia hanya sejengkal cuma…
maka teronta-ronta mindaku ingin mengubah haluan…
namun, gunung itu terlalu tinggi untuk didaki,
kerana tangan dan kaki terikat,
mulut tertutup….,bicara hanya dilaungan hati….
kerana tersilap bicara rasislah kita,
biarpun sekadar mengingatkan hak yang termaktub….
tanah ini milik kita…

Tercampaknya aku ke daerah itu,
mencelikkan ruang-ruang minda, hanyut di laut fikir….
mencerap  makna di sebalik sebuah perjanjian,
penerimaan dalam sebuah negara demi menuntut kemerdekaan…
mengkaji sebuah sejarah yang ternoktah….
Minda pun berkata-kata, “Inikah warisan yang ditinggalkan penjajah?”
lalu hati pun berbicara,
"Jerih perih pejuang bangsaku demi sebuah kemerdekaan,
berbaloikah setelah terpaksa menerima dengan air mata?..."
Ibarat pelari yang tiba-tiba hanya muncul di garisan penamat….
lalu, ia pun dinobatkan sebagai pemenang,
sedangkan jerih-perih pelari yang bermula di garis permulaan keletihan bermandi peluh dan air mata…
namun, terpaksa akur menerimanya…
Tetapi ia hanyalah satu sandiwara 
demi mendapat tempat di bumi bertuah ini
kerana di hati mereka, tanah ini sekadar tempat berpijak 
demi kesinambungan hidup sebelum mata tertutup…
Di minda mereka, 
"Tembok besar itulah warisan ibunda yang tidak boleh dilupakan….
Sungai jernih itu, kesucian alirannya dipuja…
kerana itulah kiblat mereka,
tertanam kukuh diwarisi sejak azali…"
dan bukannya tanah ini, 
tempat lahir generasi selepas beratus tahun berlalu…
keutuhan binaan tembok besar itu,
sekukuh itulah warisan ibunda yang tertanam di jiwa...
dan kesucian aliran sungai itu terus mekar mengalir di jiwa…..
lalu, lahirlah kelompok yang memperjuangkan hak…
menuntut kembali sejarah diterbalikkan,
minta di hantar pulang….
kerana di sana adalah tempat suci mereka…

Dan aku yang pernah terlontar di daerah itu,
dari jauh mindaku menerobos, mencari simpulan hati…
lalu seribu makna dapatku garap….
Di sebalik tuntutan menjaga warisan ibunda,
di situlah sebenarnya asuhan beribu jiwa…
Maka, lahirlah jiwa-jiwa sinis
seperti lahirnya pencipta lagu “Negaraku versi generasi baru…..”
demi diamuk rasa tertindas dalam negara yang telah menebarkan 
sayap-sayap berterbangan bebas mengisi makna sebuah kehidupan…
dari mula mengenal huruf hinggalah berjaya
menjadi pencipta lagu yang tersohor seantaro dunia…
kononnya kerana terselit sedikit kepayahan dalam meredah perjalanan…,
seantaro dunia dikhabarkan cerita dongeng,
sepertimana Israel mengkhabarkan pada dunia,
mereka bertindak untuk mempertahankan diri daripada pengganas….
sedangkan merekalah yang telah merampas hak itu,
dan berjaya membina empayar di tanah orang lain…
Adakah kita mahu melihat sahaja?

Dan kenikmatan yang sama-sama dikecapi itu,
tiadakah rasa syukur untuk diri sendiri yang bernafas di bumi bertuah ini,
jikapun tidak mahu berterima kasih kepada negara,
penerimaan itu memberi ruang untuk bertapak dari generasi ke generasi…
Tangan siapakah yang menyuapkan minda di bawah bangunan ilmu,
atau gedung-gedung perniagaan megah di tengah kota di merata ceruk bumi bertuah ini….
kereta mewah yang menjalar di jalanan,  
juga dibina hasil penerimaan yang telah diwarisi dan dikecapi itu…
semua itu, terbina kukuh hasil jerih-perih pejuang kemerdekaan pada masa lalu…

Berada di daerah ini, semakin terang lagi bersuluh….
perjanjian itu tidak terpahat kukuh di hati….
Tidak diajari generasi selepasnya, untuk memahami makna di sebalik kontrak…
yang difahami hanyalah kesaksamaan dalam kepelbagaian…..
lalu hadirlah pelbagai rasa yang mencuri deria fikir….
Terdetiklah ketidakpuasan di jiwa,
rasa tertindas dan diabaikan….
Kenyataan terbentang di ruang maya ini….
dari perjanjian itulah, lahirnya jutawan-jutawan dunia…
mengecap nikmat di bumi merdeka dan berdaulat ini.

Yang pasti sejarah telah terpahat kukuh di jiwa kami…
Kerana, sebelum hak itu dikongsi , raja telah bertitah;
“lima puluh peratus adalah hak peribumi,
rebutlah lima puluh peratus lagi untuk dikongsi bersama”
lalu, dengan hemah bicara perkongsian itupun bermula…
kerana itulah….
Tun Razak menebarkan sayap DEB, 
demi menjaga hak itu terus diwarisi…
Amanat raja, telahpun Tun tunaikan….
Generasiku, pemimpin yang ingin mengganti tampok yang ada….
Tidak inginkah memikul amanat raja?....
atau sekadar mahu menimbun berguni emas di perut sendiri,
 jika bersungguh-sungguh mahu DEB dilenyapkan,
seperti  Si Kitul dan Raja Mandeliar 
yang telah membuka ruang-ruang hitam di hati
demi seuncang emas dari Portugis;
akhirnya, lenyaplah keagungan Kesultanan Melayu Melaka…
yang tinggal hanyalah catatan duka, 
sangat pedih menghiris luka berdarah tidak kelihatan…

Sedarlah wahai bangsaku Malaysia kini;
“untuk hidup selesa dan merdeka hari ini, 
telah mengalir sungai darah di setiap penjuru bumi 
yang dulunya bernama Tanah Melayu….
hatta di Singapura sekalipun….
pun begitu di bumi Singapura, 
bangsaku tidak mewarisi hak para pejuang…
terpadam nama Temasik, hilang jua hak pemilik asalnya….
Maka, bertebaranlah melukut di tepi gantang 
mencari ruang untuk hidup,
kerana…. gantang sudah lama hilang,
yang tertinggal hanyalah catatan sejarah duka
mengekori minda orang-orang yang berfikiran kritis,
Pun begitu, peribahasa masih indah untuk ditatap,
Namun, melukut jua telah lama hilang 
diterbangkan angin dalam hembusan sepoi bahasanya,
dan sawah padi telah lama kontang….
Yang kekal hanyalah Sabah dan Sarawak,
mengumpul ruang-ruang hak peribumi agar tidak tergugat,
kerana… di bumi Semenanjung ini 
terlalu rakus dengan tangan-tangan kejam,
ingin menikam tuan dari belakang,
biarpun tuannya itu telah memberinya cukup ruang untuk bernafas…..

Ruang lingkup di daerah itu,
telah membangkitkan satu pentaksiran baru;
Lalu… kugarapkan sebuah cerita sendu ini….
Memerhati rencah kehidupan pentadbiran di daerah itu…
aku mulai diasak kebimbangan,
hanya orang yang pernah berada di situ yang akan mengerti,
kerana… kita boleh memberi yang terlebih,
tetapi kita tidak akan menerima jika terkurang di tempat orang…
angin perubahan politik telah mengkhabarkan
bahawa cerita dari utara itu bukanlah cerita dongeng….
Realiti menuntut bangsaku mengotakan janji Laksamana Hang Tuah,
“ Takkan Melayu hilang di dunia,”
Dalam kealpaan bangsaku dijajahi minda ketaksuban
membenci pemimpin bangsanya sendiri
kerana disogokkan dengan agenda
kononnya kerakusan kuasa menindas rakyat;

Hari ini….
setelah lebih lima puluh tahun sungai darah itu kering,
wujud tangan-tangan halus kasar
mahu mengalirkan semula sungai darah di bumi bertuah ini
di sebalik perjuangan reformasi yang bertunjangkan keadilan…
lalu, apakah hasilnya jika nanti memusnahkan ruang lingkup sosial dan ekonomi Negara… Adakah akan lahir kumpulan “ala baju merah Thailand” atau sejarah 13 Mei mahu diulang??”
ATAU adakah kita mahu hilang nama MALAYsia
seperti hilangnya Tanah Melayu dalam peta dunia?
Kerana….hanya “Malay” itu sahaja bukti bumi bertuah ini asal-usul kita di sini….
tidak di bumi lain sebelum dan selepasnya…..
Wahai, bangsaku mengertilah!!!!
 jika tidak mahu mengalirkan air mata darah sekali lagi
jika tidak mahu diratah ganas… seperti Narathiwat, mengemis untuk hidup,
atau sebagaimana bumi Plestin yang belum pasti bila sungai darahnya akan kering??
Kerana Melayu telah hilang maya di bumi Singapura sejak hari itu…..

(ilusi smasa terdampar di SJKC, kini kembali berpijak di BUMI MALAYSIA...setahun aku melihat kehidupan di negara sendiri, tetapi KIBLATnya negara orang!!!!)
28 Oktober 2011

No comments:

Post a Comment