Biarpun telah lama aku wujud
diriku seperti tidak terlihat olehmu
tertanya-tanya aku, adakah aku halimunan?
Biarpun setiap detik katamu kau dambakan aku,
tapi kau buat tidak peduli tentang aku
ku lihat setiap ketika kau bersandiwara di depanku
kau selesa bersama dengan yang lain
biarpun aku, kau kata kau puja
namun, tipu daya belaka!!
Biarpun aku kau jaga rapi
namun, kau tetap tak peduli
kau tetap jua ke laman orang
kau biarkan aku kehausan sendirian
kau biarkan aku teraba-raba mencari serba daya
kau biarkan aku berjuang sendirian untuk terus hidup
kau biarkan aku dalam keluh kesah yang tak bertepi
kau biarkan aku berteka-teki
kau biarkan aku menagih simpati
kau biarkan aku dihina dicaci
kau biarkan aku sakit diinjak-injak
kau biarkan aku kelelahan sendiri
kau biarkan aku mencari penawarnya sendirian.
Aku semakin kau tak peduli,
maka terkapar-kaparlah aku
sendirian mengubati sakit di jiwa
pedih luka tiada siapa yang peduli,
sakit menahan sesak di dada
tiada siapa yang datang merawat
tiada siapa yang sudi menjengah
mereka hanya mengiring pesan
mereka hanya menyampaikan salam
mereka hanya menitip kata sambil lewa
mereka sekadar menjenguk di pinggiran.
Aku semakin hampa kecewa
jiran tetangga pasti takkan peduli
waris pusaka masih diam menyepi
biarpun aku hampir nazak
mereka masih tak ambil tahu
mereka masih tak mahu peduli
mereka masih leka dibuai mimpi
mereka masih alpa menunai janji
mereka masih bertelagah mendapatkan hak.
Aku semakin sayu,
mengenang nasib di pinggiran
mengenang jasad tak dipeduli
Adakah mereka menunggu sehingga aku MATI??
barulah mereka hendak tengadah,
atau semuanya tinggal tulang gemulang??
tetapi masih juga belum sedar
bahawa aku telah TIADA!!!
Oh, alangkah pilunya aku
hanya kerana bergelar BAHASA MELAYU!!!
mereka malu hendak mengaku
mereka malu hendak berkata
mereka malu hendak berbicara
mereka malu dengan kedaifanku!!!
05082012/0210 pagi
Temerloh, Pahang.
No comments:
Post a Comment