Saturday, 1 September 2012

Ku telah kehilangan kunci.....

KEHILANGAN KUNCI
Tiba-tiba aku tersedar
bahawa aku telah kehilangan kunci
tertimbus di pusara ibu...

Tatkala ada tetamu berkunjung
dia mengetuk pintu
kuhanya berdiri di jendela melihat
dan dia masih lagi mengetuk pintu bertalu-talu
aku masih juga memandang dari muka jendela
tidak bergerakpun untuk membuka pintu itu...

Lalu dia bertanya,
mengapa aku tidak membuka pintu untuknya?
aku hanya tersenyum
dan dengan selamba kumenjawab,
"kuncinya telah hilang"

Lalu, diapun memerhati sekeliling
cuba mencari-cari kunci yang hilang itu
namun, dia gagal menemuinya
Dan dia cuba menerjah masuk
namun gagal,
kerana pintu itu terlalu kukuh.

Aku sendiri,
telah lama menyedari kunci itu hilang
sejak jejak langkah di pusara ibu kutinggalkan
dan aku tidak berusaha mencarinya
aku hanya membiarkan saja diri terkurung
dalam penjara sepi
namun aku bahagia mengulit kenangan
biarpun jiwaku sakit diterjah semilir rindu...

Tiba-tiba hari ini,
fikiran menerjah dinding rasa
mengajak aku keluar dari penjara rindu
menyapa aku agar mencari kembali kunci itu..

Aku hanya terdiam,
melayan sendiri rentak fikir
aku masih tertanya-tanya,
masih adakah kunci itu di situ?
atau telah berkarat ditimbus masa?
mampukah aku mengilapnya semula
jika kunci itu kutemui semula?

~Detikan Rasa...sebuah bicara hati~
Liza Isma...dihujani semilir rindu tak bertepi
2 September 2012/10.45 pagi

No comments:

Post a Comment