Saturday, 20 July 2013

Senja Di Air Chanal (Detikan rasa sebuah realiti kehidupan di suatu senja)



 Senja ini….
Aku melihat seorang tua,
dengan sisa-sisa kudratnya melangkah ke masjid
demi menunai tanggungjawab…
Seruan Illahi tetap keutamaannya..
dalam payah langkah kakinya yang gontai,
dia teguh dengan keimanan….

Namun, di suatu sudut
tersimpan suatu kisah penuh tragis….
dalam pondok usangnya, mataku menelusuri sekitaran….
hati dipagut pilu melihat betapa daif kehidupannya,
Terdetik di fikiranku,
“anak-anaknya ada, tinggal hampir  di sekelilingnya,
punyai rumah sendiri di atas tanah anugerahnya….
namun melihat betapa daif dan usangnya rumah itu,
dia keseorangan meniti usia senja,
hidupnya seperti sebatang kara….
tidak terkesankah di hati anak-anaknya
melihat daifnya tempat dia beradu??
sayu aku melihat keadaan tempat tidur baringnya…
Ah, seperti mereka yang hidup di jalanan!”
terdetik di hatiku…”tiadakah rasa belas di jiwa mereka ….
melihat seorang ayah berkeadaan begitu,
hidup seperti sebatang kara walaupun punya keluarga….”

Lalu, aku teringat kisah,
”Seorang Tua Di Kaki Gunung”
layar ceritanya berulang tayang di ruang mataku…
lalu, senja itu…,
mengajak aku menyelusuri hidup seorang tua meniti sisa-sisa usia…
dia punya segalanya; harta tanah berekar,
anak-anak sebagai warisnya dan cucu-cucu penyambung generasinya…
mereka hidup mewarisi apa yang pernah diusahakannya,
berpuluh tahun lalu…dengan mengerah kudrat
dia meneroka hutan bukit di Air Chanal
untuk mengisi perut anak isterinya.


Dan setelah perbukitan itu, menjadi miliknya,
dia wariskan pula kepada zuriatnya,
namun, akhirnya…
dia telah tersingkir di hati zuriatnya sendiri….
Rupanya begitu mahal harga kasih sayang seorang anak,
buat seorang tua yang sudah tidak berupaya lagi….
biarpun anak menantu celik agama,
namun di hati mereka buta kasih sayang…
dan hukum, bukan lagi perkiraan yang diikuti….

Dan senja ini..
menyaksikan tirai putih berlabuh,
menutup sekujur tubuh tua menemui penciptaNya!
Dalam kerut wajah tua,berakhirlah sebuah riwayat
abadilah di sana dengan limpahan Rahmat Illahi…

Dan senjapun melabuhkan tirai waktu…
Meninggalkan seribu cerita pilu,
Kerana di luar sana berjuta riwayat seumpamanya
Menuntut  pengertian insan…
buat mereka yang mahu mengerti…

                                                                                                           
didedikasi buat warga emas,
za_tintamaya
4 Disember 2009/4.50 petang.
Sambungan : 18 September 2011/1.30 petang.
(setelah dia meninggal alam fana ini)

No comments:

Post a Comment